PARIS: Pemain Sepanyol Carlos Alcaraz memulakan kempen Paris Masters dengan langkah kanan selepas menewaskan pemain Chile, Nicolas Jarry 7-5, 6-1 hari ini.
Selepas mendapat bye pada pusingan pertama, Alcaraz mendahului 3-0 dalam aksi di pusingan 32 itu, namun Jarry bangkit menambah mata sebelum perlawanan set pertama tamat dengan kedudukann 7-5.
Pemain Sepanyol itu bagaimanapun menunjukkan penguasaan pada set kedua dengan hanya membenarkan lawannya menang satu permainan sebelum menamatkan aksi 6-1.
“Kemenangan ini satu anugerah kepada saya apatah lagi perlawanan pertama. Ia membantu saya lebih yakin selepas ini. Cumanya saya perlu sesuaikan diri dengan kelajuan dalam gelanggang,” katanya.
Alcaraz menjadi pilihan untuk menjuarai kejohanan ini buat kali pertama di atas gelanggang keras Arena Bercy selepas pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner menarik diri daripada bertanding ekoran jangkitan virus.
Dia dijadual menentang pemain tuan rumah, Ugo Humbert atau pemain Amerika Syarikat, Marcos Giron dalam pusingan 16. – AFP/UTUSAN










