‘Pas jadi kerajaan bukan sebab DAP’

‘Pas jadi kerajaan bukan sebab DAP’

WARTAWAN Utusan Malaysia, Mohd. Hafiz Abd. Mutalib (kanan) dan Asyraf Muhammad (kiri) menemubual Hashim Jasin di Kompleks Pas Kangar, Perlis baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

ISU kerjasama Pas dengan parti-parti lain dalam konteks politik semasa yang memerlukan kerjasama politik bagi membentuk kerajaan dijangka menjadi antara isu tumpuan sempena Muktamar Tahunan Pas kali ke-70 di Temerloh, Pahang bermula hari ini hingga 15 September.

Sebelum ini juga, timbul desas-desus kononnya Pas akan bersama kerajaan Perpaduan namun dinafikan kepemimpinan tertinggi parti itu.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHD HAFIZ ABD. MUTALIB dan ASYRAF MUHAMMAD bersama jurugambar, IZLIZAN OTHMAN mendapatkan Mursyidul Am Pas, DATUK HASHIM JASIN bagi mengulas pelbagai isu termasuk soal kerjasama Kerajaan Perpaduan, Muafakat Nasional (MN), prestasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pelbagai topik lain.


UTUSAN: Jangkaan sempena Muktamar Tahunan Pas tahun ini?
HASHIM: Saya rasa muktamar ini, selepas penubuhan Pas pada 1951, tiap-tiap tahun diadakan muktamar. Saya, alhamdulillah sejak 1969 sampai sekarang, tidak pernah ketinggalan untuk hadir. Setiap tahun, saya lihat daripada sudut perbincangan agenda-agendanya serta mutu perbincangan perwakilan dari dulu, sampailah sekarang banyak perubahan dan pertambahan yang baik dalam perbahasan-perbahasan. Begitu juga keputusan-keputusan yang dibuat.

Tahun ini, dijangkakan beberapa isu mungkin akan dibincangkan antaranya hubungan Pas sebagai sebuah parti dalam konteks kerjasama dengan parti-parti lain di Malaysia ini. Kemungkinan itu akan dibincangkan dan kalau berlaku mungkin akan diputuskan dasar-dasar kerjasama dengan parti-parti lain.

Perkara kerjasama ini, Pas mempunyai pengalaman yang banyak dan kita tidak mahu terjun dalam satu ‘lubang’ dua kali. Bagi saya, kita patut berjaga-jaga dan berharap apa pun bentuk kerjasama, bergantunglah pada tali Allah SWT. Itu akan menyelamatkan jemaah dan menyelamatkan perjuangan kita.

Adakah kerjasama ini termasuk UMNO?
Ya, apa sahaja parti. Sebab sekarang ini orang main, apabila Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) kata tidak ingin kerjasama dengan Pas selagi Tok Guru Haji Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang) jadi pemimpin Pas. Dijawab pula oleh Timbalan Presiden Pas (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man), “kami pun tidak mahu kerjasama selagi Zahid jadi pemimpin UMNO”.

Jadi apakah itu dijadikan asas kerjasama? Syarat bukan Zahid, bukan Haji Hadi, baru mahu berlaku kerjasama itu.

Itu sebab saya kata pertimbangan hendaklah berdasarkan tali Allah. Kalau ditakdirkan ada perubahan sikap, perubahan pemimpin pun, kita perlu pegang dengan dasar-dasar yang ditetapkan oleh agama. Jangan ada satu pun percanggahan dengan agama. Itu baru boleh kita kerjasama.

Sebab kita pernah kerjasama dengan DAP. Kemudian kerjasama itu diputuskan DAP dengan alasan Haji Hadi, jadi dia campur tangan. Majlis Syura Ulama juga bermesyuarat dan putus dengan DAP.

Ini pun satu lagi, kita boleh kerjasama dengan syarat bukan Haji Hadi. Apa beza dengan DAP kata dulu? Jadi, saya rasa pemimpin Pas sekarang ini mempunyai pengalaman, persediaan yang cukup apabila kita bergabung atau bersama dengan parti-parti lain dengan mengambil kira kepentingan Islam itu diberi keutamaan.

Kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan akan dibangkitkan dalam muktamar?
Saya tidak dengar lagi ada agenda tersebut untuk dibincangkan. Jika ada sekali pun tawaran dari pihak Perdana Menteri, saya tidak dengar lagilah secara rasmi. Kalau itu dibangkitkan, saya harap keputusan muktamar dibuat. Tetapi biasanya, perkara yang besar seperti ini, akan bawa dulu dalam mesyuarat syura. Misalnya pindaan Perlembagaan, tidak terus bincang dalam muktamar. Jadi tahun ini, soalan berkait dengan pindaan Perlembagaan Pas itu saya rasa tiada masa lagi untuk dibincangkan oleh syura. Sebab syura baru dua minggu lepas kita bermesyuarat, tiada perbincangan berhubung isu pindaan Perlembagaan atau kerjasama itu.

Sediakah Pas berada dalam kerajaan Perpaduan bagi mengimbangi kekuatan Melayu Islam dalam kerajaan?
Itu bukan sepatutnya. Apabila kita menerima atau menolak, kalau amalan yang betulnya, mesti dibawa dulu dalam syura dan dalam muktamar. Setakat sekarang, syura tidak bincang, tidak tahulah datang mengejut benda-benda seperti itu. Tetapi saya rasa apabila ditapis dulu oleh syura dan barulah dibawa ke muktamar, itulah jalan yang lebih baik.

Jika berlaku kerjasama, adakah akan tinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)?
Sampai sekarang tidak pernah fikir tinggalkan Bersatu. Parti itu sudah bersama dengan kita.

Pandangan mengenai landskap politik sekarang yang tiada parti dominan dan memerlukan kerjasama politik untuk membentuk kerajaan?
Kita tengok dalam Islam itu sendiri ada kaedah. Apabila buat sesuatu, ada kaedah iaitu sekat bila buruk. Kalaulah nampak bagus benda ini sekarang, tetapi kalau (apa) kita buat akan berlaku satu benda yang tidak elok, buruk, maka tidak boleh buat. Jangan buat. Apabila kita buat, ia akan jadi buruk. Daripada awal lagi kita tidak boleh terima. Itu dari sudut hukumnya. Maka, saya rasa kalau dibawa muktamar pun, ataupun ada perwakilan yang bangkit, maka peraturan syariat itu perlu diamati dalam setiap keputusan.

Jangan fikir ingin menang sahaja. Bagi saya, sejarah Islam itu sendiri, umpamanya dalam perang nabi macam-macam berlaku. Nabi sahaja ada 28 peperangan. Macam Perang Badar kita menang, Perang Uhud kita kalah, Perang Hunain walaupun kita ramai dengan 12,000 orang tetapi bertempiaran habis sehinggalah nabi kumpul balik baru menang. Benda-benda ini akan jadi perhitungan dalam penentuan kita bekerjasama. Ertinya, kita bukan berdasarkan bilangan ahli, bilangan penyokong, tetapi ada satu faktor lagi yang kalau kita baca sejarah Islam iaitu pertolongan Allah SWT.

Pas tidak kisah bekerjasama dengan mana-mana parti?
Tidak boleh cakap secara umum. Kita perlu kaji. Kita cakap secara umum, kalau kita berkawan ramai, kita menang, kita memerintah. Apakah matlamat kita hanya sekadar untuk memerintah? Kerana itu, letak matlamat kita kepentingan agama dan perjuangan jihad kerana Allah. Sebab itu, Islam mengajar kita dan kita laksanakannya sejak 1951. Kita lawan kerajaan UMNO bukan kerana namanya UMNO. Kita lawan kerana ingin tegakkan hukum Allah yang UMNO tidak mahu. Kita kalah habis, tidak menang-menang sehinggalah dulu tahun 60-an, 70-an, ada seorang yang menang. Akhirnya pada 70-an, paling banyak kita menang di Perlis ini tiga kerusi. Tiga daripada 15 kerusi tidak boleh memerintah. Sampailah PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15). Kita lawan walaupun kalah. Perlis ini bertuah kerana walaupun tidak menang, kita tidak hilang deposit.

Ertinya ada orang yang sedia untuk bersama. Jadi, kita tidak tahu mungkin ada antara ahli kita walaupun orang kampung, tetapi ada keikhlasan untuk menjaga perjuangan, maka tuhan bagi kemenangan dalam PRU15.

Dia tidak datang secara spontan, tetapi Allah gerakkan hati mereka bersama dan boleh dikatakan seluruh negara saluran muda ini kebanyakannya kita menang. Daripada mana? Itu perlu fikir. Pertolongan Allah SWT itu satu dan persediaan jentera kita. Maka, sekarang ini, bagi saya Pas kena tumpu kepada melakukan kebajikan untuk melayakkan kita mendapat pertolongan Allah.

Pandangan mengenai Bersatu hanya menumpang kekuatan Pas?
Zahirnya ada kerjasama antara Pas dan Bersatu. Dan Pas pun mendapat keuntungan apabila bersama Bersatu. Tempat yang kita payah menang dulu, tetapi dengan wujudnya kerjasama itu menambahkan sokongan kepada kita dan mendapatkan lebih kerusi. Tetapi persoalannya, siapa yang lebih dapat keuntungan, Pas atau Bersatu? Soalan ini kalau kita kira akan bertembung sesama sendiri. Jadi saya rasa, lebih baik kita tidak payah fikir hal itu, kita fikir kerjasama ini diteruskan untuk kepentingan masa depan. Maka, diharapkan di masa akan datang ini, untuk perkara berkaitan pembahagian kerusi dalam PRU16 dapat dilakukan berdasarkan kemampuan yang ada kepada tiap-tiap parti itu. Jangan tolak terus, jangan terima semua terus. Ruang untuk perbincangan itu dibuka seluasnya untuk elak perpecahan dalam parti.

Mampukah PN tanpa DAP membentuk kerajaan dalam PRU16?
Anggapan orang politik yang hanya fikir politik begitulah. PN perlu kepada DAP. Sebab itu ada parti dia ambil DAP. Dia ikut kerana untuk jaga kedudukan. Dia terlupa satu, bantuan Allah tadi. Kita pegang yang itu. Siapa jangka, contohnya masa nabi dulu, Abu Jahal paling kuat menentang nabi. Sampai mahu bunuh dan dia pun mati dalam Peperangan Badar. Anaknya, Ikrimah waktu mula, dia tentang nabi macam bapa dia juga tetapi akhirnya peluk Islam, dipilih oleh Abu Bakar menjadi ketua ketumbukan tentera lawan orang-orang murtad. Jadi benda-benda macam ini, pertolongan itu penting.

Bagaimana prestasi PN? Masihkah ada lagi sokongan Melayu?
Saya rasa setakat sekarang inilah, sokongan daripada orang Melayu itu masih kukuh kepada PN. Apa yang kita lihat kerana PH (Pakatan Harapan) terlampau banyak perkara yang merugikan orang Melayu-Islam. Tentu orang Melayu-Islam tidak semudah itu menolak PN.

Pandangan selepas kekalahan PN di Nenggiri memberi isyarat undi Melayu, golongan muda mula berubah?
Saya tinjau dari jauh bahawa unsur beli undi dalam kalangan orang miskin. Bukan mahal sangat pun, yang perlu kepada kewangan. Jadi itu salah satu faktor. Ia tidak akan kekal. Maka, cara kita memberi pendidikan Islam kepada masyarakat, itu yang akan kekal. Beli-membeli undi harus dihapuskan. Kita tidak mampu beli-beli undi, tetapi pergi dengan cara membuka minda mereka supaya terus bersama pergerakan yang kita bawa.

Usaha PN menarik sokongan pengundi Cina jika ingin menang dalam PRU akan datang?
Bagi saya, mungkin makan masa tetapi sekarang sudah ada empat negeri yang kita perintah. Bagi mereka lebih selesa dengan cara Pas memerintah. Macam di Kelantan, banyak bukan Islam tetapi dia tidak tentang banyak. Negeri-negeri lain pun tunjukkan bahawa kita akan menjadi sebagai kerajaan bertanggungjawab atas rakyat. Dengan syarat, kita tidak langgar syariat dan hukum hakam Islam.

Bagaimana melihat kerjasama negeri-negeri PN dalam SG4?
Kita doakan supaya usaha yang baik ini akan berjaya sebab kalau berjaya, ia akan jadi contoh kepada orang-orang bukan Islam terutamanya hasil daripada perpaduan kita ini. Bukan sahaja dalam bidang akhlak dan moral, tetapi juga dalam bidang ekonomi. Kita boleh bina ekonomi yang begitu baik. Ini satu langkah yang baik kerana orang bukan Islam selalunya menilai baik atau buruk sesuatu itu berdasarkan kebendaan. Jadi kalau boleh tunjuk kita boleh maju, dengan cara lain maka, tiada halangan bagi mereka untuk bersama kita.

Prestasi PN di empat buah negeri?
Kita tidaklah 100 peratus berpuas hati kerana pertamanya pemimpin kita bukan maksum. Ada kelemahan, ada kekurangan. Tetapi kita harapkan jika kelemahan-kelemahan itu ditegur, maka janganlah kita anggap teguran itu sebagai menolak. Teguran itu membina, bukan menolak. Jadi, terimalah. Kalau yang baik itu mengikut kaca mata Islam, terima. Kalau tidak mampu buat lagi tidak apa, tetapi jangan tolak.

Peluang Pas dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah? Adakah Pas diterima di sana?
Kurang penerimaan. Saya pernah pergi Sarawak berkempen. Lama dulu. Tiada yang berjaya. Malaysia dulu pun macam itu juga, tidak berhenti perjuangan itu. Walaupun tidak dapat sokongan, hilang deposit, tetapi kerja Islam jangan berhenti. Nanti tuhan buka pintu hati mereka dan akan terima Islam. Kita mahu tanding atau tidak itu berdasarkan kepada perkembangan mutakhir untuk dinilai.
Patutkah kita tanding? Dengan siapa kita mahu ganding untuk hadapi PRU akan datang? Adapun dalam Islam, tuhan suruh kita buat kerja sahaja. Allah mahu tengok apa yang kamu buat. Jadi kerja kita buat itu kadang kala berjaya, kadang kala tidak. Berjaya tuhan lihat, tidak kerja pun tuhan lihat. Asalkan kita buat kerja kerana Islam, ada ganjaran di sebalik apa yang kita buat. Jadi, kita tidak jadikan matlamat menang itu sebagai matlamat terakhir. Kita ajak, seru terutamanya untuk orang Islam libatkan diri dengan gerakan Islam. Moga-moga usaha kita yang sedikit ini diberkati oleh Allah.

Peluang PN dalam PRK Mahkota?
Yang itu sama sahaja dengan Perlis dahulu. Misalnya Parlimen Padang Besar, rekod dia yang saya tengok ada lima DUN (Dewan Undangan Negeri). Semua kalah. Duduk nombor tiga. Pertama UMNO/BN (Barisan Nasional), kedua PKR dan ketiga Pas namun pada PRU15 kita menang. Tidak mustahil juga di PRK Mahkota.

 


Pintu kerjasama terbuka tetapi…

Adakah masih terbuka untuk menghidupkan MN?
Saya rasa Pas sentiasa terbuka untuk perpaduan. Lebih-lebih lagi sesama Islam. Kita tidak pun lagi tetap bentuk kerjasama ini. Cuma, contoh yang diberi oleh pemimpin itu kepada orang bukan Islam hendaklah dilakukan secara jujur, ikhlas, sehingga boleh menarik mereka untuk bersama kita. Banyak juga orang India yang kuat pegangan agama tetapi tidak nampak kelemahan dalam kepimpinan Islam. Dia tertarik dan duduk dalam Dewan Himpunan Penyokong Pas. Mereka faham. Mereka berusrah. Pernah dalam muktamar mereka nasihat orang Pas jangan tinggal usrah. Yang bagi pandangan itu bukan Islam. Sebab apa? Dia bukan mula kelmarin, dari dulu lagi dia tahu usrah bagus. Saya difahamkan, ada beberapa orang pimpinan mereka mahu masuk Islam tetapi isteri halang. Tidak apalah, kita terus dampingi mereka.

Masih mengharap MN dihidupkan kembali?
Pertama, boleh ke tidak itu soalan lain. Tapi kita buka pintu, tidak tutup-tutup. Tetapi UMNO sudah mula dengan “selagi Haji Hadi jadi presiden’, kita tak akan kerjasama”. Itu dia kata dan dia pun hidup beberapa hari sahaja lagi. Generasi akan datang yang kita bina, kita perlu berpadu.

Bukan kehendak Hadi, atau Zahid, tetapi Allah yang suruh. Tuhan yang suruh. Kita pegang yang itu, jangan sesiapa tutup. Berdosa besar kalau kita tutup, sebab itu diperintah oleh Allah. Ini yang kita bawa secara umum. Walaupun sekarang ada pelbagai halangan tetapi matlamat kita adalah perpaduan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×