Boleh kerjasama, tetapi perlu terima dasar Pas

Boleh kerjasama, tetapi perlu terima dasar Pas

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

BERULANG kali soal kerjasama Pas dengan parti politik negara ini menjadi topik hangat. Dan sudah berkali-kali juga ahli Pas bersuara bahawa parti ini terbuka untuk menjalin kerjasama termasuk bersama UMNO, seperti satu ketika dulu.

Cumanya, tegas Timbalan Presiden Pas, DATUK SERI TUAN IBRAHIM TUAN MAN kerjasama ini hanya boleh ‘hidup’ sekiranya parti tersebut menerima dasar dan polisi Pas terutama berkaitan perpaduan ummah.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, SALEHUDIN MAT RASAD, perpecahan seperti yang berlaku hari ini hanya merugikan umat Islam.

Justeru, beliau berharap Muktamar Tahunan Pas Kali ke-70 di Dewan Al-Makmur, Kerdau Pahang bermula 11 hingga 15 September ini , dihadiri kira-kira 5,000 perwakilan termasuk para pemerhati dari seluruh negara meletakkan harapan agar Pas yang pernah sekapal dengan UMNO dalam Muafakat Nasional ( MN) menentukan hala tuju politik yang lebih cemerlang dengan slogan ‘Kita Memimpin’.

Ikuti temu bual ini dalam mengupas pelbagai isu, kritikan, cadangan dan hala tuju parti untuk menjadi dominan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).


UTUSAN : Apakah kepentingan dan signifikan Muktamar Pas ke- 70 ini?

Tuan Ibrahim : Muktamar ini diadakan secara  tahunan. Ia diadakan secara bergilir-gilir mengikut negeri. Kali ini diadakan di Kompleks Pas Pahang, Kerdau. Ia memang menjadi tuntutan organisasi dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Kita terbuka untuk membuat laporan prestasi kerja tahunan kepada para perwakilan. 

Kedua, untuk melihat kembali tentang  perjalanan sepanjang tahun parti bagi membolehkan ahli memberi pandangan, komentar dan kritikan. Apa yang kita telah buat keputusan dan laksana. Muktamar bersifat dalaman. Ia untuk kita melihat apa yang boleh ditambah baik selain menyusun hala tuju pada pada tahun depan.

Kenapa kita buat di Pahang ? Kita harap muktamar dapat lonjakan politik kepada dalam kalangan Pas Pahang untuk terus bekerja keras dalam menawan dan mengambil alih  kerajaan negeri pada PRU16.

Disamping itu dapat mencetuskan gelombang ekonomi tenpatan di sini apabila perniagaan berjalan rancak. Contohnya  hotel dan inap desa habis ditempah di sepanjang muktamar ini.

 

 Apakah agenda utama yang akan dibangkitkan Pas dalam muktamar tahunan kali ini ?

Saya jangka sebahagian  besar perwakilan  membahaskan isu sosial, ekonomi, soal pengukuhan Islam  sebagai agama Persekutuan dan isu hubungan antarabangsa  yang melibatkan Palestin termasuk ancaman pengairan negara oleh kapal perang China. Ini kerana (tindakan China itu) boleh menjejaskan kedaulatan negara.

Rumusannya  ada empat perkara yang menjadi fokus muktamar iaitu  isu dalam negeri, antarabangsa, isu tarbiah dan keselamatan .

 

Bercakap tentang isu semasa, adakah hasrat untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan termasuk DAP atau pintu itu sudah tertutup?

Kita bertindak profesional  sebagai pembangkang dalam Parlimen. Mana-mana rang undang-undang yang positif, kita sokong termasuk Belanjawan. Setakat ini kita sokong semua.

Cuma kita tengok kerajaan masih gagal tunai janji untuk memberi peruntukan. Bahkan syarat yang tetapkan tidak munasabah. Sehingga kini belum terima (peruntukan yang dijanjikan). Kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak lama lagi.

Rakyat  memilih kita sebagai wakil rakyat tetapi tetapi kita pula dinafikan hak peruntukan sebagai wakil rakyat. Sebagai contoh nasib pembangkang di Pahang hanya diberi  RM5,000 setahun untuk diagih-agihkan kepada masjid pada bulan puasa.

 

Bagaimana pula kerjasama dengan UMNO di bawah Muafakat Nasional (MN)? Tidak mahu dihidupkan semula?

Kita masih lagi terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti yang menerima dasar dan polisi kita terutama berkaitan perpaduan ummah.

Bagi kita ummah ini perlu bersatu. Kita tidak boleh berpecah. Berpecah hanya akan merugikan kita. Pada masa sama kita tidak boleh berkompromi kepada kesalahan sebab rakyat mahu melihat sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti tinggi, tidak sombong, tidak takbur, tidak ego. Jika kita lihat, hari ini rakyat tidak selesa dan marah dengan pelbagai isu.

Jadi, adakah ini bermakna Pas akan kekal setia bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan Perikatan Nasional (PN)?

Kita dengan Bersatu tiada masalah sentiasa erat malah saling bermesyuarat di meja bulat membincangkan kepentingan parti, rakyat dan negara.

Begitu juga dalam hal PRK (Pilihan Raya Kecil) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor, kita akan bantu calon. Pas dengan Bersatu sangat akrab dan baik malah parti berkenaan juga membantu kita dalam PRK Nenggiri. Kami matang dan menolak adu domba yang boleh merosakkan hubungan baik dalam rakan PN itu.

Ramai melihat kekalahan PRK Nenggiri salah Pas kerana calon yang dipilih merupakan bekas ahli parti tetapi mewakili Bersatu. Bahkan ramai penyokong Pas memboikot untuk memberi undi kepada calon. Komen?

Sebenarnya daripada susulan kekalahan itu, kita telah membentuk jawatankuasa untuk menyiasat secara keseluruhan puncanya. Kita dapati antara faktor kekalahan kerana adanya elemen sogokan, keluar gambar memberi duit dan lain-lain. Jadi, faktor calon tidak memberi kesan sangat walaupun dia asalnya bekas ahli Pas yang masuk Bersatu.

Adakah Pas akan berhempas pulas membantu calon Bersatu yang mewakili PN pada PRK Mahkota? Bagaimana peluang PN di kerusi itu?

Pas terkenal sebagai rakan yang memiliki sifat setia kawan dan tidak akan membiarkan atau mengkhianati calon Bersatu agar mereka bergerak sendiri. Komitmen Pas akan membantu sedaya upaya. Malah kita telah arahkan negeri berhampiran seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang turun secara maksimum membantu memenangkan calon.

Kita akan bentuk gelombang sokongan parti gabungan dalam PN untuk membantu calon Bersatu di Mahkota.

Peluang untuk menang tetap ada sebab pilihan raya dulu gelombang sokongan kepada PN belum berlaku kerana diadakan pilihan raya lebih awal dari negeri lain. Pengundi muda di Johor belum masuk dalam sistem. Harap kali ini ada perubahanlah.

Pendekatan Pas dalam menghadapi PRU16?

Kita ada tiga pendekatan utama iaitu dengan menarik semaksimum mungkin pengundi muda, tetapi perlu fokus dan peka dengan perubahan teknologi canggih, bukan lagi ceramah umum. Kita perlu beralih ke media sosial untuk mendekati pengundi.

Kita akan mewujudkan kebersamaan dalam kalangan PN dan hanya calon terbaik boleh menangkan ditonjolkan di kawasan yang ditandingi. Kita akan turut sederap demi kemenangan calon kita.

Parti yang menjadi ancaman terbesar kepada Pas dalam PRU16?

Saya tengok sekarang parti-parti dalam PH sokongannya banyak menurun termasuk UMNO. Cuma dalam konteks sesetengah kawasan saya rasa dalam PH yang agak stabil ialah DAP kerana mendapat sokongan Cina tetapi dalam kalangan pengundi Melayu sokongan kepada Pas lebih besar.

Jadi kita nampak ia akan menjadi indikator dalam PRU16 apatah lagi dalam situasi UMNO dalam Kerajaan Perpaduan. Ini kerana rakyat telah bosan dan muak dengan UMNO. Jadi, kita harapkan (rakyat yang bosan dengan UMNO) akan bersama Pas dalam perubahan yang akan kita bawa.

Jika tiada PN, adakah Pas sedia bergerak solo pada PRU16 akan datang?

Kita sedar akan realiti politik negara yang membabitkan pelbagai parti dan mempunyai hala tuju masing-masing. Kita akan tengok iklim politik semasa. Jika tiada PN, ini kerana politik ini adalah seni. Contohnya di Sabah ada ADUN (ahli Dewan Undangan Negeri) lantikan dari Pas.
Realiti yang perlu kita lihat juga jika mahu menjadi kerajaan mesti mendapat sokongan parti lain sebagaimana yang berlaku pembentukan kerajaan hari ini.

Usaha yang dilakukan Pas untuk terus menjuarai isu-isu nasional?

Kita mengakui hubungan baik dengan media sangat penting. Kita dapat maklum balas daripada masyarakat tentang isu yang membelenggu mereka. Ada sehingga lima atau enam isu dan ia masih tidak selesai lagi, namun timbul pula isu baharu.

Jadi, kita perlu fokus isu seperti ekonomi, beban kos hidup rakyat, peluang pekerjaan, generasi muda yang tidak minat sambung belajar sekali gus meyebabkan negara bakal kehilangan golongan profesional pada masa akan datang.

Tradisi Pas menyantuni rakyat, mendengar keluhan mereka dengan lebih giat dan semaksium walaupun tiada peruntukan. Rakyat tahu wakil rakyat mereka dinafikan hak dari segi mendapatkan peruntukan.

Adakah Pas yakin akan dapat merampas Pahang pada PRU16?

Dalam mesyuarat terkini bersama rakan PH- Gagasan Pas Teraju Pahang ditukar kepada PN Teraju Pahang pada PRU16. Pada PRU15, Pas dapat lonjakan perdana selepas memperoleh 15 kerusi DUN dan dua kerusi rakan dalam PN.

Sekarang Pas memegang 43 kerusi Parlimen dan 150 kerusi DUN. Untuk PRU akan datang, saya yakin Pas boleh menambah bilangan kerusi berkenaan.

 


Kemelut dalam kerajaan perlu diatasi segera

Komen Datuk Seri berhubung isu halal yang dibangkitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok? Adakah kenyataan beliau agak melampau?

Isu yang dibangkitkan Teresa melangkaui tugasnya sebagai wakil rakyat. Ini kerana beliau mencampuri hal yang berkaitan agama Islam. Ini bukan isu hak bukan Islam. Hal berkaitan halal dan haram membabitkan hak orang Islam. Jadi, isu-isu sebegini amat sensitif bagi orang Islam lagi-lagi menyentuh soal makan dan minum.

Keduanya, sepatutnya banggalah kerana Malaysia menjadi hab halal antarabangsa yang menjana billion ringgit hasil pelaburan dalam sektor halal.

Dan sepatutnya mereka yang mendukung kerajaan seperti Teresa tidak perlu menikam belakang kerajaan. Sebagai ahli Parlimen mesti dia tahu hal ini.

Prospek industri halal di Malaysia sangat tinggi, bagaimana dia boleh menyebut sijil halal boleh menyusahkan orang bukan Islam. Dia boleh memberi imej negatif kepada orang luar dan ini sangat memalukan negara.

Bagaimana pula bantahan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular?
Begitu juga dalam isu penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah turut dibantah komuniti Cina yang secara langsung melanggar Perlembagaan Persekutuan. Tugas kerajaan untuk mengatasi perkara ini demi perpaduan dan integrasi nasional.

Tidak munasabah langsung ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang walaupun negara sudah merdeka 67 tahun lalu, namun masih tidak mampu bertutur atau memahami bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×