Reformasi ekonomi pembukajalan untuk reformasi politik

Reformasi ekonomi pembuka jalan untuk reformasi politik

RINGGIT dijangka melemah pada minggu ini susulan pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

2023 menjadi titik permulaan bagi kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam menentukan dasar-dasar, tatakelola dan hala tuju yang jelas untuk tempoh penuh setahun.

Dalam tempoh ini antara langkah-langkah yang paling menonjol ialah pelancaran Kerangka Ekonomi Madani yang memetakan strategi ampuh untuk pertumbuhan ekonomi, mengenal pasti industri pertumbuhan baharu dan mencipta hasil positif terhadap pengembangan berterusan ekonomi negara.

Seterusnya ialah Belanjawan Madani pertama (2023) dan kedua (2024) yang menekankan kepentingan pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan, menekankan pengurusan kewangan yang berhemat serta merangsang pertumbuhan ekonomi.

Selainnya ialah menaikkan peruntukan sebanyak RM15 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Kelulusan itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukkan RMK12 sebanyak RM415 bilion. Selain itu, Anwar juga memperkenalkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk memandu trajektori Malaysia sebagai kuasa global dalam pembangunan industri serta memperkenalkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi mengukuhkan ekonomi dan sektor tenaga negara.

Utamanya juga, melaksanakan reformasi institusi serta tatakelola baik bagi menghapus segala ruang yang boleh mewujudkan amalan rasuah, termasuk memperkenalkan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal untuk menjamin supaya kebijakan ekonomi itu lebih telus serta bertanggungjawab. Manakala memperkenalkan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan bagi menjamin supaya tidak boleh sewenang-wenangnya berlaku pembaziran wang rakyat dan pelanggaran hukum.

Tahun tersebut menjadi landasan kepada pencapaian yang lebih baik pada tahun ini, dengan mana strategi-strategi yang dirancang mula menunjukkan hasil positif. Beberapa indikator ekonomi dan sosial mencerminkan kejayaan awal ini, termasuk pertumbuhan ekonomi yang kukuh, inflasi yang terkawal, pengukuhan nilai Ringgit serta kestabilan kadar faedah.

Ekonomi Malaysia berkembang dengan kadar 4.2 peratus pada suku pertama dan 5.8 peratus pada suku kedua 2024. Pertumbuhan ini adalah hasil daripada pelbagai faktor, termasuk dasar fiskal yang proaktif, pemulihan prestasi eksport, peningkatan dalam perbelanjaan domestik serta peningkatan pelaburan asing.

Malaysia juga mendapat manfaat daripada ‘Chips War’ antara Amerika Syarikat (AS) dan China dengan menjadi salah satu destinasi utama dalam pasaran cip global. Ini bukan sahaja menambah nilai kepada ekonomi tempatan tetapi juga menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama dalam sektor teknologi tinggi.

Inflasi negara berada pada kadar yang terkawal iaitu pada 1.7 peratus menunjukkan bahawa kerajaan berjaya mengawal kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Pengawalan inflasi ini dicapai melalui penyasaran subsidi yang tepat dan kawalan harga yang berkesan.

Sebagai contoh, harga ayam, minyak masak, telur dan sayur-sayuran kebanyakannya turun ke paras yang lebih mampu milik, berbanding beberapa tahun sebelumnya. Bekalan makanan juga mencukupi, terutama pada musim-musim perayaan, berbanding dengan keadaan pada tahun-tahun sebelumnya yang sering mengalami gangguan dan putus bekalan.

Jumaat lalu nilai Ringgit mengekalkan aliran peningkatan mencecah paras tertinggi dalam tempoh 14 bulan pada RM4.49 berbanding dolar AS. Ringgit juga meningkat berbanding pound Britain, mengukuh berbanding euro dan naik berbanding yen Jepun serta lebih baik berbanding mata wang ASEAN sebelum ini.

Peningkatan ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi dan kecekapan dasar kewangan negara. Pengukuhan mata wang ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos import tetapi juga meningkatkan daya beli domestik, yang seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.

Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga dikekalkan pada tiga peratus, yang merupakan satu langkah strategik untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Kadar faedah yang stabil ini membantu menggalakkan perbelanjaan pengguna dan pelaburan, sambil mengekalkan kestabilan harga. Ini adalah penting dalam konteks ekonomi yang sedang berkembang, yang mana kestabilan kewangan adalah kunci kepada pertumbuhan mampan.

Malaysia juga muncul sebagai destinasi pelaburan nombor satu dalam hampir semua aspek perniagaan ekonomi. Ini adalah hasil daripada dasar-dasar pro-perniagaan yang dilaksanakan kerajaan, serta kecekapan dalam urusan pentadbiran dan tatakelola yang baik. Pelaburan yang meningkat dalam sektor teknologi dan pembuatan, terutamanya dalam industri cip, membantu merangsang ekonomi selain mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti.

Pendekatan kerajaan dalam penyusunan subsidi pula terbukti berkesan tanpa memberi kesan negatif terhadap harga bahan mentah. Melalui inisiatif seperti fleet card dan Budi Madani, subsidi disasarkan kepada pihak yang terlibat dalam rantaian bekalan, memastikan bahawa bantuan sampai kepada yang memerlukan tanpa menjejaskan pasaran. Ini adalah tindakan yang bijak dan berani untuk faedah jangka panjang, memastikan kelestarian fiskal dan ekonomi negara.

Keyakinan pemegang taruh antarabangsa kepada Malaysia juga terserlah selepas JP Morgan menaikkan taraf Malaysia dari ‘underweight’ ke ‘neutral’, S&P Global Ratings memuji langkah rasionalisasi subsidi yang dijangka akan mengecilkan defisit fiskal dan Fitch Ratings yang mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melonjak sebanyak 4.4 peratus pada 2024 dan 4.5 peratus bagi 2025.

KEBERKESANAN DASAR
Semua pencapaian yang dinyatakan ini adalah bukti kecekapan dan keberkesanan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani walaupun sesetengahnya nampak pahit pada awalnya.

Keberhasilan ini bukan sahaja menguntungkan ekonomi negara tetapi juga meningkatkan kesejahteraan rakyat. Kejayaan awal ini memberi harapan bahawa Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai visi pembangunan yang inklusif dan mapan.

Sebagai orang lama, saya memahami pentingnya pendekatan tidak terburu-buru Perdana Menteri. Fokus utama Kerajaan Madani seperti yang berulang kali dinyatakan oleh beliau seharusnya adalah kepada reformasi ekonomi.

Kini, dengan reformasi ekonomi yang mula menampakkan hasil, sementara keselamatan dan pertahanan negara juga terjaga, kita boleh menjangka fokus seterusnya adalah reformasi politik dan perundangan.-UTUSAN

DATUK Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah Profesor Emeritus dari Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×