DALAM budaya masyarakat India-Hindu, nama bayi dipilih secara penuh teliti. Selain mengekalkan identiti keluarga seperti Nair, Pillai, Rao, Menon dan Naidu pada hujung nama, pemilihan nama bayi tidak dibuat secara sembarangan.
Menurut portal rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), setiap kelahiran bayi yang berlaku di Sabah dan Sarawak perlu didaftar dalam masa 14 hari dari tarikh kelahiran. Bagi kelahiran di Semenanjung Malaysia, tempoh 60 hari diberi untuk mendaftarkannya.
Bagi kaum India, nama bayi biasanya dipilih sebelum si bapa pergi ke pejabat JPN untuk mendaftar kelahiran bayi. Semasa si ibu mengandung, mungkin ada beberapa nama disenaraikan. Namun, pemilihan rasmi hanya boleh dibuat selepas bayi lahir.
Tarikh, masa dan tempat kelahiran digunakan untuk menentukan raasi dan natcatiram (rasi dan bintang) bayi. Dua maklumat ini penting dan sentiasa dirujuk apabila ada upacara sembahyang khas di kuil. Begitu juga apabila mencari calon pengantin pada masa depan.
Berbalik kepada bayi yang baharu lahir, ibu bapa biasanya merujuk sami, pendeta, pakar astrologi atau pakar numerologi untuk menentukan suku kata yang paling sesuai diletak pada permulaan nama bayi berdasarkan raasi dan natcatiram.
Berdasarkan senarai suku kata itulah nama bayi dipilih sebelum didaftar secara rasmi di JPN. Tentulah nama yang baik, bermakna dan sedap didengar dipilih kerana akan digunakan sepanjang hayat.
Rencana bertajuk Antroponimi: Kisah di Sebalik Nama dalam buku Suvarna Bhumi (2022) menghuraikan makna sejumlah nama. Tentulah menarik apabila kita memahami maksud di sebalik nama rakan-rakan kaum India.
Dari Mei hingga Julai lalu, saya mengendalikan program Temasya Bahasa anjuran Persatuan Kebajikan Idayakkani melibatkan 17 buah sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di daerah Larut, Matang dan Selama, Perak.
Pada senarai peserta, terdapat sejumlah nama yang aneh dan seolah-olah tidak ada makna khusus. Walau bagaimanapun, saya lebih berminat memperkatakan nama-nama yang unik dan memiliki makna tersendiri.
Nama Shiranjeevan sempena salah satu nama watak Hanuman dalam epik Ramayana dan Mahabharata iaitu Chiranjivi. Nama itu membawa makna abadi (immortal) dan merujuk kepercayaan bahawa watak Hanuman hidup sepanjang zaman.
Nama dewa-dewi pasti menjadi pilihan orang Hindu. Apabila nama itu digunakan untuk memanggil seseorang, si pemanggil dianggap mendapat pahala kerana menyebut nama dewa-dewi.
Antara nama seumpama itu yang biasa ditemui ialah Murugan, Siva, Lakshmi, Vishnu, Kannan, Saraswathy, Ganesan, Parvathi, Krishnan, Saravanan, Hari, Kaliamma dan Ayyapan.
Nama Balamurugan merujuk Dewa Murugan sebagai bayi atau kanak-kanak kerana ‘bala’ bermakna bayi. Begitulah juga Balakrishnan merujuk Dewa Krishna pada usia kanak-kanak.
Pada masa sama, kata ‘bala’ juga membawa makna kuat. Maka, nama Balakhandan boleh merujuk Khandan (Murugan) pada usia kanak-kanak atau bermakna Khandan yang perkasa.
Kita juga tentu biasa berkawan dengan orang bernama Raja, Rani (permaisuri), Kumaran (putera) dan Kumari (puteri). Arivalagan dan Anbalagan merujuk individu yang bijak dan penyayang, manakala Alagan bermakna si kacak.
Nama Navarathinam pula gabungan nava (sembilan) dan rathinam (permata). Selvam atau Chelvam merujuk kepada kekayaan. Maka, Anbuselvam merujuk orang yang kaya dengan kasih sayang.
Nama Selvan atau Chelvan pula bermakna anak lelaki. Jadi, nama Tamilselvan membawa makna anak kepada Tamil dan digunakan dengan penuh bangga oleh pejuang bahasa Tamil.
Istilah ‘kula’ merujuk kepada kaum keluarga, kerabat dan suku kaum. Dalam hal ini, nama Kulasingam menggambarkan individu itu sebagai wira (singa) dalam kerabat.
Dalam purana Hindu, Dewa Karthikeyan (Murugan) ialah anak kepada Dewa Siva. Kisah itu boleh dibaca dalam buku Khanda Puranam (2022) yang diceritakan semula dengan bahasa mudah untuk pembaca Malaysia. Nama Sivakarthikeyan membawa makna Karthikeyan anak kepada Siva.
Banyak juga nama diambil daripada epik, purana dan karya klasik. Misalnya, Yasotha sempena ibu angkat Dewa Krishna. Manimekalai ialah watak utama dalam epik Manimekalai iaitu salah satu daripada lima karya agung Tamil. Nama itu pula merujuk rantai daripada manik dan dipakai keliling pinggang.
Sakuntala atau Sakuntalai ialah isteri kepada Dushyanta dalam epik Mahabharata. Kisahnya amat popular dan sehingga kini masih dipersembahkan dalam bentuk filem dan drama pentas.
Nama Vijay, Vijaya atau Vijayan sudah meresap masuk dalam budaya Melayu sejak dahulu dan membawa makna kejayaan atau kemenangan. Begitu juga Manikam yang merujuk batu permata.
Lazimnya, nama wanita berakhir dengan ‘i’ atau ‘a’ manakala nama lelaki berakhir dengan ‘an’ atau ‘am’. Misalnya, Eswari dan Kumari bagi wanita manakala Eswaran dan Kumaran bagi lelaki. Begitu juga nama Mohana dan Sarguna bagi wanita sementara Mohan dan Sargunan bagi lelaki.
Nama Kalaiarasi membawa makna puteri kepada seni manakala Kalaiarasan bermakna putera kepada seni. Nama Ponarasi (wanita) dan Ponarasan (lelaki) menggunakan kata dasar ‘pon’ (emas).
TIDAK AMBIL TAHU
Memang amat menarik apabila kita tahu makna di sebalik nama. Malangnya, ramai juga individu kaum India tidak mengambil tahu makna sebenar nama masing-masing.
Sekadar contoh, ada beberapa peserta program Temasya Bahasa yang nama bapa mereka ialah Kalidas, Kalidasa dan Kalidasan. Malangnya, mereka tidak sedar nama itu sempena seorang penyair agung yang menghasilkan banyak karya Sanskrit terkenal seperti Kumarasambhava, Raghuvamsa, Sakuntalam dan Megha Duta.
Nama Kalidasan itu sendiri membawa makna hamba kepada Dewi Kali. Begitulah juga Sivanesan bermakna pencinta Dewa Siva dan Kannadasan bermaksud hamba kepada Dewa Kannan/Krishna.
Sekarang ada pula trend baharu dalam kalangan kaum India. Jika nama anak bermula dengan Sai, misalnya Sai Vaishnavi dan Sai Sanjey, selalunya si ibu merupakan pengikut ajaran Sai Baba.
Cuba senaraikan nama kenalan kaum India dan tanyalah makna nama-nama itu. Hasilnya pasti amat menarik dan mengujakan.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










