BULAN lalu, genaplah 24 tahun saya bekerja di Universiti Utara Malaysia (UUM). Bermula sebagai tutor dan kini bergelar pensyarah.
Pun begitu, saya menjejakkan kaki lebih awal di bumi Sintok, Kedah iaitu sejak 28 tahun lalu sebagai seorang pelajar. Semasa di peringkat sarjana muda, saya menerima tajaan biasiswa UUM, seterusnya bekerja di universiti ini sehingga kini.
Meskipun pernah ditawarkan biasiswa daripada syarikat korporat dan agensi kerajaan lain, namun saya mengikut kata hati dan hasrat arwah bapa untuk memilih biasiswa UUM bagi meneruskan pengajian di peringkat sarjana muda. Ternyata, tidak salah alamat.
Pemilihan ini merealisasikan hasrat bapa untuk melihat saya bekerja sebagai tutor dan pensyarah di UUM. Sememangnya pilihan ini tidak salah, sehingga ke hari ini saya merasakan UUM adalah sebuah institusi yang sangat sesuai untuk bekerja.
Bukan hanya saya sahaja berpendapat sedemikian rupa tetapi juga rakan baik, Bistomi Ismail yang baharu sahaja bersara wajib pada bulan lalu juga memiliki pemikiran yang sama. Beliau lebih layak berkata sedemikian rupa kerana sudah berkhidmat di UUM sejak 40 tahun lalu. Sahabat baik saya ini adalah generasi perintis UUM yang ditubuhkan sejak 40 tahun yang lalu. Memiliki nombor pekerja antara yang terawal, iaitu 55, maka tidak menghairankanlah Bistomi mengetahui selok-belok tentang UUM.
Sebagai sahabat yang lebih berusia dan berpengalaman, saya sentiasa mendapatkan pendapat dan pengalamannya sepanjang bekerja. Masakan tidak, pengalaman daripada orang yang ‘berusia’ itu cukup penting bagi menongkah kehidupan bekerja.
Sebagai generasi yang bekerja di universiti berkenaan pada 2000, saya masih tidak menguasi kesemua selok-belok tentang UUM meskipun merupakan bekas pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) itu. Ini kerana situasi belajar dan bekerja amat berbeza sama sekali.
Malah, saya tidak boleh meremehkan mereka yang bekerja begitu lama di UUM meskipun mereka ini berjawatan rendah. Bagi saya, mereka inilah antara pekerja yang banyak membantu dan menyumbang bakti sehingga universiti ini disegani bukan setakat peringkat Malaysia malah di mata dunia.
Sebagai generasi yang lebih muda, kita wajib menghormati mereka yang lebih berusia dan berpengalaman tidak kira apa pun jawatan mereka. Mereka ini mampu menghadapi pelbagai cabaran terutama tekanan di tempat kerja.
Menurut Bistomi, ketika mula bekerja pada awal 1984, gajinya hanya sekadar RM250 sebulan, manakala elaun bulanan sebanyak RM35 sahaja. Kenaikan gaji tahunan pula sebanyak RM10 sahaja. Namun, ketika itu, kos sara hidup masih murah sejajar dengan gaji yang diterima. Roti canai berharga 30 sen sahaja, manakala harga teh ais pula hanya 50 sen segelas.
Namun, dengan peningkatan gaji dan kos sara hidup yang berubah dari 1984 sehingga 2024, Bistomi tetap kekal setia bersama UUM selama 40 tahun. Atas kesetiaannya itu, Bistomi dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) oleh Sultan Kedah ketika itu.
Hal ini mengingatkan saya dengan kajian terbaharu yang menunjukkan budaya keseimbangan kehidupan bekerja (work life balance) di Malaysia berada di kedudukan kedua tercorot di dunia. Meskipun ada pihak yang menyangkal kajian yang dibuat oleh pihak ketiga ini, namun rata-ratanya apabila ditanya terutama kepada rakan-rakan yang bekerja di negeri-negeri lain, mereka mengakui hakikat ini.
Apabila kurangnya keseimbangan kehidupan bekerja, maka akan timbul pelbagai masalah lain yang memberi kesan terhadap produktiviti bekerja.
SERONOK
Dalam hal ini, saya melihat dan cukup terkesan dengan Bistomi yang sangat cekal bekerja dan sentiasa tersenyum ketika bekerja. Tidak pernah saya melihatnya bimbang, gelisah atau tertekan apabila sedang bekerja. Malah, tidak pernah pun kedengaran sebarang rungutan tentang urusan bekerja datang dari mulutnya.
Maka, saya pernah bertanyakan kepadanya bagaimana dirinya menghadapi sebarang tekanan sejak tahun 1984 sehinggalah tahun 2024 sebelum bersara? Jawapannya cukup ringkas. Ciptalah sebanyak mungkin kenangan manis ketika bekerja. Dengan kata lain, setiap hari bekerja, kita sendiri wajar mencipta pelbagai kenangan manis agar dapat mengurangkan sebarang tekanan bekerja.
Intipatinya adalah keseronokan bekerja agar dapat melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin sehingga bersara. Selain itu, beliau menyatakan apa jua pekerjaan perlulah dibuat dengan hati yang bersih dan jauhilah bekerja semata-mata mengutamakan kepentingan diri. Hati yang bersih akan menyebabkan kita akan sentiasa seronok bekerja.
Bayangkan setiap hari ingin memulakan pekerjaan di pejabat, kita akan cuba mencipta kenangan manis dan ini disulami pula dengan hati yang bersih, maka sudah tentulah produktiviti kerja kita juga akan meningkat.
Hakikatnya, setiap orang mengharapkan gaji yang diperoleh diberkati Allah SWT, maka dengan bekerja keras dan bersungguh-sungguh, segala titik peluh wang yang diperoleh akan lebih dirasai untuk dikongsi dengan kaum keluarga.
Usahlah terlalu bekerja sehingga meminggirkan kehidupan selain dunia pekerjaan, iaitu kehidupan bersama keluarga. Inilah nasihat saudara Bistomi kepada saya yang mana wajar diterapkan oleh sesiapa sahaja bagi membolehkan keseimbangan kehidupan bekerja seiring dengan kehidupan berkeluarga. Nasihat yang sangat berguna daripada insan yang sangat berpengalaman untuk generasi muda.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Rohami Shafie ialah Pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia (UUM).










