Matrikulasi tidak mudah, jangan abai matlamat asal

Matrikulasi tidak mudah, jangan abai matlamat asal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENANTIAN penuh debaran kini berakhir dengan penuh kesyukuran. Tahniah kepada semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang berjaya mendapat tempat bagi melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi.

Setelah menerima surat tawaran, banyak perkara yang perlu diuruskan. Masing-masing akan sibuk membuat persiapan menjelang hari pendaftaran yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Apatah lagi jika kampus yang bakal dituju itu jauh daripada kampung halaman.

Banyak persiapan dokumen perlu dilakukan dan pada masa yang sama, peralatan belajar serta pakaian yang sesuai dengan tataetika universiti juga perlu disediakan. Ini belum termasuk barangan keperluan harian lain yang diperlukan ketika di kampus nanti.

Persediaan rapi sangat penting jika kampus nanti terletak di kawasan yang agak terpencil dan jauh daripada bandar. Pengalaman ini saya kongsikan ketika menuntut di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gambang, Pahang.

Dalam kesibukan menyediakan kelengkapan yang harus dibawa, jangan lupa membuat carian tentang peralatan elektrik yang dibenarkan penggunaannya di kampus masing-masing.

Setiap institut pendidikan tinggi awam (IPTA) mempunyai peraturan yang ditetapkan. Oleh itu, penting untuk mendapatkan maklumat yang tepat bagi mengelakkan sebarang masalah atau dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan.
Sambil merancang perjalanan ke kampus, ibu bapa juga pasti sibuk menyediakan pelbagai bekalan.

Dengan perasaan teruja, mereka seboleh-bolehnya cuba memastikan semua barang yang diperlukan lengkap tersedia. Kerana sayangkan anak, mereka sanggup mengikat perut dan bergolok-gadai, asal sahaja anak-anak dapat belajar dengan selesa.

Pada ibu bapa, tiada harta yang lebih berharga daripada anak-anak. Sejak dilahirkan, mereka sanggup berkorban apa sahaja demi membesarkan anak-anak dan akan merasa puas serta bahagia apabila melihat kita berjaya dalam pelajaran. Jadi, ambillah peluang ini untuk membahagiakan kedua-dua ibu bapa.

Melangkah ke tahap ini ialah satu pencapaian besar bagi pelajar. Masing-masing sudah pasti bertekad untuk tidak mempersiakan peluang yang ada setelah bertahun-tahun berusaha bagi mencapai apa yang dicita-citakan.

Rasa kesyukuran dan keterujaan inilah yang patut diabadikan sebagai pembakar semangat pada hari-hari mendatang agar kekal istiqamah dan sentiasa gigih berusaha tanpa mengenal penat dan jemu demi memartabatkan maruah negara bangsa.

 

MESKIPUN berjaya mendapat tempat di matrikulasi namun pelajar perlu sedar bahawa markah cemerlang yang diraih dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi boleh memberi kelebihan dalam menentukan tempat di universiti selepas tamat pengajian.

 

 

TIDAK MUDAH
Ramai menganggap kursus matrikulasi sebagai laluan termudah untuk melanjutkan pengajian ke universiti. Mungkin ada kebenarannya, tetapi tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan. Laut mana tidak berombak, bumi mana tidak ditimpa hujan.

Kita tidak boleh terlalu selesa kerana dalam setiap perjalanan pasti ada cabaran dan kesukaran yang harus ditempuhi. Persaingan pelajar di peringkat matrikulasi juga jauh lebih sengit berbanding persaingan di sekolah dahulu.

Pada peringkat matrikulasi juga, mesti bertarung sekali lagi bagi memastikan berjaya mendapat tempat untuk belajar dalam bidang yang diminati di peringkat ijazah nanti.

Juga harus sedar bahawa markah cemerlang yang diraih dalam SPM tidak lagi boleh memberi kelebihan dalam menentukan untuk mendapat tempat di universiti selepas matrikulasi. Sebaliknya, segala-galanya akan bergantung kepada purata nilai gred yang bakal diperoleh.

Oleh itu, walaupun laluan ini dianggap lebih mudah tetapi kita masih boleh gagal jika mengamalkan sikap mengambil sambil lewa kerana terlalu yakin akan mendapat tempat di universiti dan tidak lagi belajar dengan bersungguh-sungguh.

Adakalanya kita merungut dan merasa terbeban dengan mata pelajaran yang tidak mempunyai kaitan dengan jurusan yang akan diikuti di peringkat ijazah nanti. Apatah lagi tatkala sedang mengejar masa menyiapkan tugasan di samping sibuk mengulang kaji pengajian sebelum peperiksaan.

Namun, apabila mengikuti kursus ijazah, saya mendapati bahawa banyak perkara yang dipelajari di peringkat asasi membantu mempermudahkan proses pembelajaran di universiti. Bagi saya, itulah hasrat pihak universiti dalam mengatur program di peringkat asasi yang dahulunya mungkin dianggap sebagai beban tambahan.

Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam. Apabila mula bergaul di dalam dunia yang lebih luas, tanpa sedar kita akan lebih terdedah kepada pelbagai pengaruh fahaman dan ideologi berlainan. Maka, amatlah penting untuk mempunyai sahabat-sahabat yang baik agar tidak mudah tergelincir ke jalan yang salah.

Saya bersyukur kerana sepanjang menuntut di Pusat Asasi UIAM, pihak pentadbiran sentiasa berusaha memelihara kami di dalam dan luar kampus bagi mengelakkan pelajar terjebak dalam kegiatan negatif.

Sebenarnya, hidup jauh daripada pandangan ibu bapa, dengan peraturan yang tidak lagi begitu ketat boleh membuatkan kita mudah menjadi sasaran kepada pihak-pihak yang sentiasa cuba memancing anak muda agar menyertai gerakan mereka.

Justeru, malang sekali jika ada di antara kita yang memilih untuk bergerak aktif dalam aktiviti-aktiviti luar kampus tanpa merujuk terlebih dahulu kepada ibu bapa masing-masing, memandangkan ada kemungkinan kita boleh terperangkap dalam aktiviti yang memudaratkan.

Bukan mudah untuk mengenal yang mana intan dan yang mana permata. Sebagai anak muda yang baharu mula belajar mengenal dunia luar yang lebih luas, amat mudah untuk tersalah langkah jika tidak berhati-hati dan terlalu menurut kehendak hati.

Selamat melangkah ke alam baharu bergelar siswa-siswi. Ingatlah bahawasanya ilmu yang dimiliki belum pun sejengkal, maka jangan mendabik dada.

Ambillah iktibar buah padi, makin berisi makin rendah diri. Janganlah jadi lalang, makin lama makin tinggi, namun tiada nilai juga dalam diri.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN