WX-R Vorteq bakar semangat pelumba trek

WX-R Vorteq bakar semangat pelumba trek

AZIZULHASNI Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bersama basikal WX-R Vorteq yang akan digunakan untuk berlumba di Sukan Olimpik Paris 2024. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan trek berbasikal negara menerima basikal baharu bagi mempertingkatkan peluang meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris yang dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Basikal trek WX-R Vorteq merupakan produk hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh Institut Sukan Negara (ISN) yang dianggarkan bernilai RM385,800 sebuah.

R&D itu dilakukan ISN dan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan jumlah RM7.5 juta secara keseluruhan bagi mencerahkan peluang pelumba trek negara iaitu Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri memburu emas pertama negara.

Mengulas lanjut, Azizulhasni berkata, jentera merupakan elemen penting dalam setiap perlumbaan walaupun ada sesetengah berpendapat di penghujungnya semuanya bergantung kepada pelumba itu sendiri yang bertindak sebagai ‘enjin’ bagi melakukan kayuhan.

“Ya, betul. Ramai yang tidak faham. Kebanyakannya fikir apabila kita sudah ada basikal baru dan kita pasti menang. Ini bukan sebab pasti menang tetapi mahu berada sama taraf dengan pelumba yang lain.

“Sebelum kita ada R&D basikal, kita sudah ketinggalan satu langkah di belakang daripada pencabar utama. Macam Great Britain, Jerman mereka sudah ada basikal khas. 

“Jadi, daripada segi teknologi mereka sudah satu langkah di depan dengan kita. Kita mungkin usaha keras, kita mungkin buat persediaan terbaik tetapi apabila hendak berlumba kita sudah berada di belakang,” katanya.

Azizulhasni ditemui pemberita selepas menerima jentera baharu tersebut daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika Majlis Pelancaran Team MAS di MSN, Bukit Jalil, semalam.

Turut menerima peralatan menjelang temasya Paris adalah pemanah Paralimpik, S. Sureh apabila diberi custom made grip bagi mempertingkatkan prestasinya.

Dalam pada itu, Azizulhasni berbangga dengan hasil air tangan ISN itu bagi mencipta jentera buat pasukan trek berbasikal negara agar setanding dengan pencabar utama terutamanya dari Eropah.

“UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) dah buat peraturan baru selepas Sukan Olimpik Rio untuk Sukan Olimpik Tokyo bahawa semua basikal kena terbuka kepada pasaran semua orang bebas lakukan R&D.

“Sebab itu KBS (Kementerian Belia dan Sukan), ISN dan MSN bekerjasama untuk buat pelaburan dan menerokai bidang baru ini. Kita bangga dengan apa yang diusahakan kerana bukan semua negara mampu melakukannya,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×