PETALING JAYA: Malaysia akan menentang Timor Leste pada Kejohanan Piala AFF B-16 2024 di Surakarta, Indonesia hari ini yang menjadi permulaan mengukur keupayaan skuad Bawah 16 negara sebelum mengintai kempen Piala Asia B-17 di Laos, Oktober ini.
Ketua jurulatih skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara, Jorda Ribera mahu menggunakan sebaik mungkin aksi Piala AFF B-16 2024 di Surakarta, Indonesia sebagai persiapan untuk skuadnya sebelum Oktober ini.
Jelasnya, pada aksi pertama menentang Timor Leste hari ini, dia akan menurunkan barisan terbaik dan memburu kemenangan pada perlawanan Kumpulan C itu.
“Kami menetapkan sasaran yang realistik untuk kejuaraan ini dan saya mahu melihat para pemain dapat bersaing di peringkat antarabangsa serta dapat memberikan cabaran dengan pasukan dalam peringkat kumpulan. Australia dilihat sebagai cabaran terbesar.
“Ini akan menjadi generasi baharu skuad negara. Kami mahu gunakan kejohanan ini sebagai persiapan menghadapi kelayakan Piala Asia B-17 Tahun pada Oktober di Laos dan saya mempunyai keyakinan penuh terhadap para pemain ini.
“Pada pertemuan menentang Timor Leste kita akan menurunkan barisan terkuat dan memburu kemenangan pertama di kejohanan ini,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Surakarta, Indonesia semalam.
Skuad bawah 16 tahun yang dibawa Ribera ke Indonesia, separuh pemain dalam pasukan itu adalah pemain dari Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Kejohanan yang disertai sebanyak 12 pasukan menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan C bersama Timor Leste, Thailand dan Australia.
Selepas aksi menentang Timor Leste, skuad negara akan berdepan Australia pada Rabu sebelum melengkapkan aksi Kumpulan C berdepan Thailand Sabtu ini.
Tiga juara kumpulan serta satu pasukan tempat kedua terbaik akan layak ke peringkat separuh akhir. – UTUSAN










