NURUL Izzah Anwar mempunyai rekod cemerlang dalam parti dan pilihan raya. Selaku Puteri Reformasi, bila bapa beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berada di dalam penjara, beliaulah yang ke hulu ke hilir sama ada secara bersendirian atau bersama-sama ibunya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, menemui pemimpin dunia bagi memperjuangkan keadilan bukan sahaja untuk bapanya tetapi juga kepada negara.
Ada satu ketika bila gambar beliau berjumpa dengan Jacel Kiram, anak perempuan Allahyarham Jamalul Kiram III, di Filipina dimuat naik di Facebook pada 9 November 2015, Nurul Izzah dikecam teruk kerana disifatkan sebagai pengkhianat negara lantaran Jamalul Kiram III mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu yang mempunyai kedaulatan di tanah Sabah yang bertanggungjawab terhadap pencerobohan ke atas negeri itu pada 2013.
Nurul Izzah berkata apa yang sebenarnya berlaku ialah dia diraikan dalam majlis yang dianjurkan oleh Majlis Hal Ehwal Filipina, Institut Demokrasi Asia, Pejabat Datuk Bandar Manila dan Pejabat Naib Presiden Filipina. Masa sama, Nurul Izzah menegaskan sokongan dan PKR dalam mempertahankan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.
Ekoran kecaman teruk ini, beliau memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Setelah tiga tahun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 April 2018 mengarahkan Ismail Sabri dan Khalid membayar RM600,000 dan RM400,000 kepada beliau. Mahkamah Rayuan pada 17 Oktober 2019 mencatatkan penyelesaian selepas Ismail Sabri membayar RM450,000 manakala bayaran Khalid dikekalkan. Ya, ada ganti rugi diberikan tetapi ia tetap tidak mampu memulihkan imej yang tercalar.
Dalam pilihan raya, Nurul Izzah membuat kejutan dengan mencatatkan kemenangan tidak disangka dengan majoriti 2,895 undi ke atas Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, yang berjawatan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di kerusi Lembah Pantai dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ((PRU12) pada 8 Mac 2008. Kejutan berterusan dalam PRU13 pada 10 April 2013 bila Nurul Izzah sekali lagi mencatatkan kemenangan dengan majoriti 1,847 mengalahkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Dalam PRU14 pula pada 9 Mei 2018 pula, Nurul Izzah meninggalkan kerusi Lembah Pantai kepada Fahmi Fadzil untuk bertanding di Permatang Pauh dalam mana menang besar dengan majoriti 15,668 undi ke atas calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Zaidi Mohd. Said, dan calon Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Pakatan Harapan (PH) menang dalam PRU ini tetapi Nurul Izzah, selaku ‘broker’ yang menemui Tun Dr. Mahathir Mohamad di London untuk menyelamatkan kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tatkala PH berada di ambang perpecahan selepas Dr. Mahathir mahu membawa Bersatu keluar dari PH pada akhir 2017, tidak diberi apa-apa jawatan.
Sama juga, dalam PRU15 pada 19 November 2022, tanpa disangka-sangka Nurul Izzah kalah dengan majoriti 5,272 undi kepada calon Pas, Fawwaz Md. Jan, di kerusi Permatang Pauh ekoran gelombang hijau yang dibawa oleh Pas dan Perikatan Nasional (PN) di Pantai Timur dan Utara Semenanjung.
Apabila Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri, pengganti Nurul Izzah di Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dilantik menjadi Menteri Komunikasi dan Digital (kemudiannya ditukar menjadi Menteri Komunikasi) sedangkan Nurul Izzah tidak diberi apa-apa peranan besar.
Jawatan tidak bergaji Nurul Izzah sebagai penasihat kanan kewangan dan ekonomi kepada Anwar juga dikorbankan apabila mengundang kritikan walaupun Nurul Izzah sebenarnya lebih dari layak atas kapasitinya sendiri yang dibekalkan dengan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) serta Ijazah Sarjana Perhubungan Antarabangsa dari Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat (AS), serta dengan pengalaman beliau sebagai Ahli Parlimen selama tiga penggal.
Beliau kemudiannya dijemput menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan bagi membantu usaha memperkukuhkan ekonomi negara.
Di peringkat parti, Nurul Izzah sejak dari pemilihan PKR 2010, 2014 dan 2018 kekal mendapat undi tertinggi sebagai Naib Presiden PKR, menjadikannya pemimpin ketiga tertinggi dalam PKR selepas Presiden dan Timbalan Presiden.
Cuma dalam pemilihan PKR 2022 sahaja beliau tidak bertanding untuk apa-apa jawatan setelah meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) bagi PKR Pulau Pinang pada 17 November 2018, satu keputusan yang secara rasminya dinyatakan dibuat berdasarkan prinsip mengutamakan pemaknaan agenda reformasi – yang harus menjalar pelaksanaannya di kalangan masyarakat – khususnya penduduk Permatang Pauh tetapi difahami ramai sebagai berpunca daripada perbezaan pendapatnya dengan Dr. Mahathir.
Sementara tidak bertanding dalam pemilihan PKR 2022, Nurul Izzah menegaskan seiring dengan komitmen penuhnya kepada usaha melindungi masa depan parti serta perjuangan yang kita kasihi, iaitu menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada kempen memenangi hati pengundi atas pagar menerusi wadah Ayuh Malaysia.
SENTIASA DIINGATI
Nama Nurul Izzah juga sentiasa timbul dalam sebarang perbincangan mengenai pengganti Anwar. Dalam tinjauan yang dilakukan antara 1 Mac hingga 8 April 2022 contohnya, Invoke Solution merumuskan, berdasarkan popularitinya dalam kalangan pengundi dan ahli PKR, Nurul Izzah adalah calon yang jelas menggantikan Anwar kerana mempunyai tahap pengiktirafan awam yang bermula sejak zaman reformasi dan kekal sebagai ’backbencher’ (penyokong) yang konsisten di Parlimen sejak 2008 sambil berjaya mengelak kontroversi yang menyelubungi ramai rakan sejawatan partinya.
Dengan lantikan semula sebagai Pengerusi MPN PKR Pulau Pinang pada 18 Februari lalu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 6 Julai ini adalah medan untuk Nurul Izzah membuktikan bakat kepimpinan dan memulakan episod kebangkitan PKR dengan menjadi parti PH pertama berjaya merebut kerusi milik PN dalam mana-mana PRK.
Semoga ini akan lebih menyedarkan semua pihak kepentingan meletakkan Nurul Izzah di posisi lebih strategik bagi menyediakan asas untuk dirinya menggalas tampuk kuasa satu masa nanti.-UTUSAN
DR. Rosli Alani Abdul Kadir ialah seorang doktor perubatan dan aktivis PKR.










