“KEMANAKAH kita selepas ini?” Inilah antara soalan yang mungkin bermain di fikiran setiap daripada kita setelah menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Walau apa pun jua keputusan yang diperoleh, kita semua akan berada di persimpangan untuk memilih langkah seterusnya. Membuat pilihan yang tepat bukanlah satu perkara yang mudah, maka harus berhati-hari meniti langkah agar tidak tersilap ke ruang salah.
Bagi calon yang berjaya mendapat keputusan cemerlang, jalan menuju ke menara gading tentunya sudah semakin hampir. Namun, harus sedar yang ini tidak bermakna secara automatik akan dipilih ke universiti awam pilihan pertama bagi mengikuti bidang pengajian yang amat diharapkan.
Justeru, jika gagal mencapai apa yang sangat dihajati, harus bersikap realistik. Rayuan boleh dibuat kepada universiti berkenaan. Jika dipanggil untuk temu duga, gunakan peluang itu dengan sebaik-baiknya untuk membuktikan kenapa kita layak dipilih. Jika masih gagal, kemukakan permohonan bagi kemasukan kedua dan ketiga.
Bagi yang mampu, mereka mungkin memilih untuk mengikuti kursus pilihan di universiti swasta atau menyambung pengajian di universiti luar negara. Namun, kos yang diperlukan adalah begitu tinggi, apatah lagi bagi kursus-kursus tertentu di universiti swasta terkenal.
Oleh itu, jika keadaan kewangan keluarga tidak mengizinkan, kita harus berlapang dada menerima kenyataan. Jangan lupa bahawa jika kita nekad memilih bidang yang diidamkan, kita mempunyai peluang untuk mencuba lagi dengan cara mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Malangnya, ramai di antara kita memandang sipi akan peluang ini.
Kita harus sedar bahawa saingan bagi mendapatkan tempat di universiti awam sememangnya sengit. Terdapat ribuan pelajar berjaya mendapat keputusan cemerlang dan mereka juga berusaha untuk merebut tempat sama seperti yang kita idamkan itu. Justeru, kita semua harus bersikap matang dan tidak mudah berputus asa.
Kerana itulah, kita harus berhati-hati serta membuat pertimbangan dengan sebaik-baiknya sebelum menentukan kursus dan universiti pilihan pada borang Unit Pengambilan Universiti (UPU) bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Pilihan kedua dan seterusnya juga amat penting dan harus bersesuaian dengan minat serta kebolehan agar tidak menghadapi banyak masalah jika pilihan pertama ditolak.
Mengemas kini borang UPU setelah mendapat keputusan peperiksaan SPM juga tidak kurang pentingnya. Kita harus menilai semula pilihan berdasarkan keputusan peperiksaan yang diterima. Paling penting, berpijaklah di bumi nyata dan buatlah pilihan yang bijak serta tidak merugikan diri sendiri.
Pada masa sama, kita juga harus sedar bahawa pilihan pertama kita tidak semestinya yang terbaik buat diri kita. Ada di antara kita yang membuat pilihan tanpa mengambil kira sama ada pilihan itu benar-benar menepati minat dan kebolehan masing-masing.

BUKAN PILIHAN TERBAIK
Ramai pelajar cenderung memilih bidang yang mereka rasakan hebat dan menjanjikan gaji yang mewah. Tidak kurang juga memilih bidang yang dikira popular dan mudah mendapatkan pekerjaan setelah memperoleh ijazah pertama kelak.
Ada pula yang berpakat sesama rakan teman untuk memilih bidang kursus dan universiti yang sama agar dapat menyambung pelajaran bersama-sama. Walhal, bidang yang disepakati bersama itu berkemungkinan bukanlah pilihan terbaik untuk kita.
Setelah berada di universiti barulah kita sedar akan kekhilafan ini. Hal ini boleh menjejaskan prestasi di universiti dan masalahnya akan bertambah serius jika bidang itu sangat sukar bagi kita, memerlukan komitmen yang tinggi, serta mempunyai beban kerja yang berat.
Begitu juga ketika membuat pemilihan universiti. Ramai yang memilih universiti hanya berdasarkan namanya yang tersohor dan kedudukan penarafannya yang tinggi tanpa mengambil kira prinsip, nilai serta falsafah yang didukung universiti tersebut.
Malah ada yang sanggup memasuki apa-apa bidang sahaja, asalkan ditawarkan tempat di universiti berkenaan.
Ramai di antara kita tidak terfikir untuk membuat penelitian tentang kemudahan yang disediakan di sesebuah universiti seperti asrama yang mencukupi, kemudahan perubatan yang baik, keselamatan, kebersihan, suasana pembelajaran yang kondusif, lokasi universiti dan sebagainya. Walhal, perkara-perkara ini sangat penting bagi menjamin kebajikan dan kesejahteraan kita selama belajar di universiti berkenaan.
Bagi mereka yang keputusan peperiksaan SPMnya kurang memuaskan pula, janganlah berputus asa. Gagal sekali bukan bermakna akan gagal buat selama-lamanya. Masih banyak ruang dan peluang yang ada di depan, asalkan kita cekal dan rajin berusaha.
Tamat peperiksaan SPM bukanlah bermakna tamatnya zaman belajar. Menuntut ilmu bukanlah setakat terhad kepada pendidikan secara formal semata-mata. Masih banyak ruang untuk diteroka bagi tujuan membangunkan diri, asalkan kita tekad dan rajin.
Aspek manusiawi harus dibangunkan dalam setiap sudut kehidupan agar hidup manusia tidak porak-peranda. Tiada gunanya berbangga memiliki wang ringgit dan harta yang melimpah-ruah jika kita gagal memanfaatkannya dengan baik. Hidup ini bukanlah sekadar untuk mencari kepuasan diri.
Dalam mengejar bintang bergemerlapan, jangan sampai kita jatuh ke bumi. Setinggi mana pun kita berada, kita tidak akan dapat hidup tanpa bantuan orang lain. Biarlah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Tanpa ilmu hidup kita ibarat lalang ditiup angin. Kita mudah ditipu saat melihat permata di dataran, walhal sekadar serpihan kaca berkelipan.
Ingatlah pada masa depan dan buatlah segala persediaan yang perlu agar tidak kalut kelak. Sesal kemudian, tiada guna. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










