Perak elak dibaham kali kedua

Perak elak dibaham kali kedua

YUSRI CHE LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak FC tidak rela pisang berbuah dua kali apabila bertemu Terengganu FC (TFC) buat kali kedua, kali ini dalam saingan Piala FA hari ini. 

Selepas tumpas 1-3 kepada Terengganu FC dalam aksi sulung Liga Super pada 11 Mei lalu, Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah berharap nasib buruk pasukan itu tidak berulang. 

Yusri berkata, beliau bersama barisan kejurulatihan sedang mengatur strategi yang lebih ampuh terutama dalam mematikan serangan pasukan tuan rumah diketuai penyerang import berasal dari Nigeria, Ismahil Akinade.

“Perancangan yang amat baik akan cuba saya tampilkan nanti dan kita harap kelibat (Ismahil) Akinade, Akhyar Rashid, Safawi Rasid serta Manuel Ott dapat dirantai pada perlawanan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, justeru itu aspek kecergasan menjadi perkara pokok untuk perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu nanti. 

Yusri berkata, lawan yang akan ditentang bukan calang-calang pasukan kerana berdasarkan statistik skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu sudah mencipta enam jaringan selain hanya bolos sekali dalam tiga aksi Liga Super setakat ini.

“Statistik tersebut menunjukkan betapa tajamnya mereka di barisan serangan dan pada masa yang sama kebal di bahagian pertahanan. 

“Jadi, dengan penekanan terhadap aspek kecergasan dalam sesi latihan amat penting kepada setiap pemain supaya kita dapat mengimbangi perlawanan dan mencatatkan keputusan positif,” katanya. 

Tambah Yusri, buat masa ini semua pemain utama pasukan termasuk tonggak import bebas daripada sebarang kecederaan dan dijangka dapat diturunkan dalam perlawanan itu nanti.

Untuk rekod, dalam saingan Piala FA musim lalu,  The Bos Gaurus gagal mara ke pusingan kedua selepas tunduk 1-2 kepada Sri Pahang FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Perak.

Terengganu FC pula gagal ke perlawanan akhir selepas tewas 2-4 kepada Kuala Lumpur FC (KLFC) dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi 90 minit permainan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN