Menyelam bukan takat 'enjoy' tetapi bawa balik kajian

Menyelam bukan takat ‘enjoy’ tetapi bawa balik kajian

BUKAN semua sampah boleh dikutip oleh penyelam kerana boleh merosakkan terumbu karang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika pemain golf sanggup bertukar padang untuk mencuba lapangan yang lebih mencabar, begitu juga dengan penyelam yang sanggup terjun ke laut di mana-mana sahaja untuk menimba pengalaman baharu.

Sebagaimana pemain golf yang bermain sambil menikmati keindahan landskap padang golf, begitulah juga dengan penyelam yang khayal dengan keindahan dan ketakjuban di dasar laut yang berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain. Bila berada di dasar laut, penyelam teruja melihat keindahan terumbu karang dan ribuan ikan pelbagai jenis dan warna, ibarat berada di alam khayalan.

 

AZHAR HUSSAIN

Begitulah dengan Ahli Geologi, Profesor Azhar Hussain, 71, yang tidak mahu melepaskan peluang untuk mengambil bahagian dalam fasa kedua program antarabangsa, Dive Against Debris (DAD) iaitu menyelam sambil mengutip debri atau sampah sarap di dalam laut di perairan Pulau Perhentian Kecil, Besut, Terengganu pada 22 Jun ini. Fasa pertama program itu diadakan sebelum monsun, September tahun lalu.

Pucuk dicita, ulam mendatang. Sebaik mendapat tahu mengenai program DAD itu, bekas pensyarah Universiti Malaya (UM) itu terus mengesahkan penyertaannya sebagai sukarelawan penyelam. Asalkan dapat menyelam, beliau sanggup pergi ke lautan mana sekali pun memandangkan bidang kelautan atau marin sentiasa di hati.

Mengakui ‘enjoy’ bila berada di dalam laut, setakat ini Azhar sudah menyelam hampir semua pulau di seluruh Asia Tenggara sama ada untuk tujuan beriadah, membawa pelatih atau untuk tujuan kajian. Di Malaysia, katanya, boleh dikatakan beliau sudah menyelam di semua pulau.

Untuk tujuan melihat keindahan biodiversiti laut, beliau berkata dasar laut di Semporna, Sabah sukar tandingannya. Dalam program anjurkan Yayasan SALAM dan BEST diterajui Pejabat Daerah Besut, Terengganu itu, kira-kira 30 sukarelawan penyelam, akan dibawa dengan tiga buah bot untuk menyelam dan mengutip pelbagai jenis sampah yang tersangkut di dasar laut di sekitar kawasan D’ Lagoon. Dalam tempoh 45 minit, mereka akan cuba mengeluarkan sebanyak mungkin ‘harta karun’ yang mencemarkan dasar laut, mengikut prosedur dan syarat ditetapkan oleh Padi Aware Foundation.

Tidak semua sampah boleh dikutip kerana ia boleh merosakkan terumbu karang. Pada waktu yang sama juga, kira-kira 100 sukarelawan akan diserta pelancong di Pulau Perhentian akan mengutip sampah di Long Beach dan sekitarnya. Meskipun dari jauh pantai di situ kelihatan putih dan bersih dari pandangan mata kasar, sebetulnya banyak puntung rokok tertimbus dan bercampur gaul dengan pasir serta sapah-sampah yang dibuang oleh pengunjung.

Azhar yang juga penyelam sepenuh masa dan jurulatih penyelam berkata, dalam setahun, paling kurang di antara 12 hingga 15 kali beliau akan menyelam, tidak kira di mana, biasanya dalam kumpulan kecil. Adakalanya beliau pergi menyelam bersama keluarganya. Tiga daripada empat anaknya termasuk perempuan, juga adalah penyelam.

Bagaimanapun, beliau berkata dalam program tajaan Kenanga Investors ini, penyelaman bukan sekadar untuk melepas ‘gian’ tetapi lebih utama untuk memenuhi misi yang lebih besar – untuk menunjukkan komitmen terhadap pemuliharaan laut dan alam sekitar.  Selepas menyelam, mereka akan berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian di Kampung Nelayan untuk sama-sama menyantuni dan mendidik murid-murid supaya menyemai sifat mulia menjaga kebersihan dan kelestarian laut.

Beliau tidak menolak kemungkinan di kawasan yang akan mereka ‘serang’ nanti mengandungi banyak sampah sarap seperti plastik, botol, pukat hantu, besi kayu, bangkai kereta, kotak ikan dan sebagainya kerana Pulau Perhentian adalah kawasan peranginan yang ramai pengunjung. Kawasan ini juga berdekatan dengan kampung nelayan dan kawasan penempatan. Biasanya kawasan sebegini akan banyak sampah yang dihanyutkan oleh arus terutamanya jika dekat dengan kuala sungai.

Dalam program ini, setiap sampah sarap dan bahan buangan yang dikutip akan diasingkan mengikut kategori dan jenisnya, kemudian diukur, ditimbang dan direkodkan. Data mengenainya akan dihantar ke pangkalan data Global Database Padi Aware Foundation, selain kepada Taman Laut, Jabatan Perikanan. Statistik ini akan dihantar melalui Padi Aware Foundation dan Jabatan Laut kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memenuhi matlamat pembangunan mampan (SDG) organisasi dunia itu.

“Bagi saya, data seperti ini sangat penting untuk mengetahui bentuk pencemaran di dasar laut dan puncanya. Tanpa data, tidak tidak ada pihak yang tahu apa yang sebenarnya terjadi di dasar laut,” katanya.

Beliau menyifatkan program DAD adalah salah satu cara untuk menyedarkan orang ramai mengenai keadaan sebenar di dasar laut yang perlu di selamatkan.

“Mustahil kitab oleh membersihkan sampah sarap di laut yang begitu luas. Tetapi, kita boleh didik manusia supaya tidak membuang sampah ke laut,” katanya.

Memandangkan Pulau Perhentian adalah kawasan pelancongan, raman pelancong menyelam di kawasan itu, oleh itu, program seperti itu perlu digalakkan bagi memastikan keadaan laut sentiasa bersih.

 

MEOR SYARIFUDDIN MEOR SYAZALI

Seorang lagi penyelam, Meor Syarifuddin Meor Syazali, 25, berkata ini adalah program DAD pertama yang akan disertainya. Beliau yang mula menyelam sejak 2016 itu dan baru mendapat lesen DAD daripada Padi Aware Foundation, turut ditugaskan mengambil gambar menggunakan drone sewaktu mereka berada di atas bot. Setelah selesai mengambil gambar dari atas bot, dia akan menyelam untuk mengutip sampah pula dengan kawan-kawan lain.

Menurutnya, menerusi hobi penyelam, beliau dapat berkenalan dengan ramai orang berpengalaman luas dari segi menyelam seperti profesional seperti doktor, peguam dan sebagainya. Baginya, menyelam adalah sejenis sukan ekstrim tetapi kegiatan sihat.

“Saya sudah sedia untuk menyelam dan pada masa yang sama menjadi pilot drone. Saya teruja dan tidak sabar menunggu hari berkenaan.” katanya

“Memandangkan tarikh berkenaan masih dalam suasana Hari Raya Korban, saya anggap ini adalah pengorbanan dan sumbangan saya membantu menyedarkan masyarakat mengenai SDG dan mewujudkan persekitaran yang sentiasa bersih,” tambahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN