PETALING JAYA: Hanya Ng Eain Yow yang masih meneruskan perjuangan pada Kejohanan Skuasy Terbuka Britain selepas pemain No. 15 dunia itu mengetepikan cabaran wakil Mesir, Aly Abou Eleinen pada pusingan kedua di The Rep Theatre, Birmingham, England.
Anak jati Kuala Lumpur itu mengambil masa selama 47 minit untuk mengesahkan slot ke pusingan ketiga menjadi miliknya selepas menundukkan Aly 4-11, 11-4, 11-7, 11-6.
Bagaimanapun, laluan lebih getir menanti Eain Yow pada peringkat seterusnya apabila bekas juara dunia, Karim Abdel Gawad, 33, yang diletakkan sebagai pilihan kelima menjadi lawannya, selepas ini.
Hanya pernah menang sekali daripada lima pertemuan ke atas bintang No. 6 dunia dari Mesir itu pada Terbuka Britain 2021, tugas berat menanti Eain Yow berdepan pencabar veteran tersebut.
Sementara itu, dalam saingan wanita, kesemua tiga wakil negara termasuk pemain No. 10 dunia, S. Sivasangari tumbang di tangan lawan masing-masing pada pusingan kedua.
Sivasangari tewas straight set kepada pilihan pertama, Nour ElSherbini dari Mesir 9-11, 8-11, 6-11 dalam masa 35 minit, manakala, seorang lagi pemain Malaysia, Rachel Arnold kalah kepada pilihan kelima juga dari Mesir, Nour El Tayeb 11-9, 9-11, 3-11, 3-11.
Pemain No. 37 dunia, Aifa Azman pula tumpas kepada pemain muda Mesir, Fayrouz Aboelkheir dalam pertarungan sengit lima set 8-11, 11-7, 6-11, 11-6, 5-11 yang mengambil masa selama hampir sejam.
“Bukan rezeki saya, hari ini, tetapi saya gembira beraksi pada kejohanan terakhir musim ini tanpa dibelenggu kecederaan, banyak perkara positif yang boleh di bawa ke depan dan terima kasih di atas sokongan, perjuangan akan diteruskan musim depan,” kata Aifa. – UTUSAN










