‘Daulah terpendam’ hanya fitnah semata-mata

‘Daulah terpendam’ hanya fitnah semata-mata

KEPERCAYAAN Anwar Ibrahim terhadap Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) adalah bukti tiada petanda yang menunjukkan wujud elemen ‘daulah terpendam’ dalam kalangan penjawat awam sekali gus dakwaan mengenainya adalah fitnah semata-mata. - FB JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAKU penganalisis dalam bidang pentadbiran awam, saya amat bersetuju dengan kandungan rencana Utusan Malaysia pada 19 Jun lalu yang menepis dakwaan liar bahawa Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, tidak setia kepada kerajaan dan cuba mensabotaj Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dari dalam.

Sejak 2020, sudah tidak kedengaran lagi apa-apa tuduhan mengenai sebarang elemen ‘daulah terpendam’ (deep state) yang boleh menggagalkan pelaksanaan agenda Malaysia Madani. Perdana Menteri sendiri  semakin berjaya mendapatkan sokongan padu penjawat awam kepada beliau melalui pelbagai inisiatif yang dikemukakannya.

Baik dari sudut pemberian bantuan, pembinaan atau pembaikian pejabat dan kuarters mahupun pengumuman kenaikan gaji penjawat awam yang dijangka akan mencatatkan kenaikan tertinggi dalam sejarah dibuat oleh Perdana Menteri sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu dan akan mula dilaksanakan pada Disember depan, semuanya mendapat sambutan positif.

Atas sebab ini maka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei lalu membuktikan penjawat awam memberikan sokongan padu kepada calon Kerajaan Perpaduan selaras dengan sokongan kepada dasar-dasar  kerajaan yang diberikan oleh persatuan atau kesatuan seperti Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri sebelum ini hanyalah bahawa gaji penjawat awam didasarkan kepada produktiviti. Mereka yang cemerlang akan diberikan ganjaran tinggi tetapi mereka yang bermasalah tidak akan diberikan ganjaran sebaliknya mereka akan dikenakan tindakan-tindakan tertentu bagi memberi kesedaran kepada mereka.

Satu perkara yang sering disebut oleh Perdana Menteri ketika bertemu dengan penjawat awam adalah penambahbaikan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan menaikkan gaji penjawat awam. Kajian SSPA ini bukanlah satu perkara yang mudah tetapi Wan Ahmad Dahlan pada hari pertama bertugas sebagai KPPA menyebut itulah keutamaannya.

Selari dengan jangkaan dan harapan tinggi oleh Perdana Menteri ke atas penjawat awam ini, dalam ucapan pertama beliau di majlis Amanat KPPA 2024 pada 21 Februari lalu, Wan Ahmad Dahlan memegaskan bahawa perkhidmatan awam sentiasa bersikap profesional dan menyokong segala dasar yang ditetapkan, serta bersedia untuk melaksanakan ketetapan ini dengan strategi-strategi yang ampuh dan berkesan.

Lebih penting lagi, beliau juga telah menyenaraikan tujuh cabaran utama yang dihadapi oleh penjawat awam bagi menjayakan dasar-dasar negara selain menggariskan penyelesaian ke atasnya.

Pertama ialah cabaran modal insan yang kurang kompeten. Bagi menyelesaikannya maka beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan memperkenalkan lebih banyak inisiatif baharu yang sesuai kehendak semasa dalam meningkatkan kompetensi dan kualiti diri penjawat awam.

Kedua, cabaran penarikan dan pengekalan bakat terbaik di sesebuah organisasi. Bagi menyelesaikannya maka suasana kerja yang lebih fleksibel akan diwujudkan ditambah usaha untuk meningkatkan pembangunan kerjaya sektor perkhidmatan awam dari sudut peningkatan kemahiran (upskilling) dan kemahiran semula (reskilling).

Cabaran ketiga pula adalah dari segi jurang antara kementerian dan jabatan. Bagi menyelesaikannya maka fungsi-fungsi setiap kementerian dan jabatan akan diteliti semula supaya tidak berlaku pertindihan peranan. Idea penyediaan bajet berasaskan strategi dan bukan sekadar pada program-program berasingan juga dicadang untuk diterokai agar perbelanjaan bagi setiap program menjadi lebih teratur, lancar, cekap dan menjimatkan dana kerajaan.

Keempat, organisasi yang tidak kejat. Bagi menyelesaikannya maka terlalu banyak lapisan ‘arahan berantai’ (chain of command) yang menyebabkan berlakunya masalah red tape (karenah)  akan dikurangkan. 

Kelima, kewujudan penyampaian perkhidmatan secara konvensional dan budaya pembangunan aplikasi digital yang masih belum menyeluruh. Untuk itu, Wan Ahmad Dahlan berkata, JPA perlu tampil ke hadapan untuk merangka suatu strategi, kaedah dan tatacara tertentu dengan beberapa jabatan Kerajaan yang lain bagi usaha digitalisasi penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Cabaran keenam adalah isu integriti dan akauntabiliti membabitkan perkara seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Bagi menyelesaikannya maka isu ini akan dikaji sehingga ke akar umbi akan punca yang menyebabkannya serta menggerakkan inisiatif-inisiatif baharu yang lebih berkesan dalam menanganinya. 

Cabaran terakhir ialah dari segi bebanan kewangan kepada kerajaan. Termasuk isu sistem saraan yang tidak berasaskan kepada produktiviti. Bagi menyelesaikannya Wan Ahmad Dahlan menegaskan bahawa beberapa inisiatif baharu sedang diterokai dan diambil kira dalam penambahbaikan kajian SSPA yang sedang dijalankan. 

Kesemua cabaran yang dinyatakan oleh Wan Ahmad Dahlan ini adalah selari dengan apa yang disebut oleh Perdana Menteri selama ini, termasuk dalam Ucapan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023 dalam mana beliau menyebut “kita memerlukan sebuah perkhidmatan awam yang efisien, cerdas dan tangkas dalam menjayakan agenda pembangunan semula negara”.

 

AKRAB

Bagi memastikan elemen ‘daulah terpendam’ tidak wujud dan mengganggu kelancaran agenda pembangunan semula negara, Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab)  dilangsungkan Jumaat lalu. Perdana Menteri melancarkan himpunan tersebut  sebagai Ejen Penggerak Perubahan Perkhidmatan Awam dalam memastikan dasar-dasar Kerajaan Madani dapat terus dilaksanakan dengan baik dan cemerlang.

Dalam ucapan beliau, Perdana Menteri mahu ahli dalam Akrab sebagai benteng perkhidmatan awam memainkan peranan untuk memberi pencerahan dan kefahaman kepada rakan-rakan penjawat awam mengenai dasar dan program kerajaan supaya agenda Malaysia Madani dapat direalisasikan. “Hari ini, saya berikan amanah besar kepada Akrab untuk jaga negara ini, jaga imej dan integriti penjawat awam,” kata beliau.

Oleh itu, tatkala Perdana Menteri menyatakan kepercayaan kepada Akrab dan penjawat awam, dan bila mana tiada petanda yang menunjukkan ada dalam kalangan penjawat awam elemen ‘daulah terpendam’ maka dakwaan mengenainya adalah fitnah semata-mata.

 

DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN