Cegah dadah bermula dari rumah

Cegah dadah bermula dari rumah

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menunjukkan aksi ‘Tak Payah, Tak Nak’ selepas melancarkan slogan baharu Kempen Antidadah dalam Majlis Perhimpunan Bulanan kementerian itu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAN tahun kes penagihan dadah terus mencatatkan peningkatan dan situasi ini semakin membimbangkan.

Lebih menggusarkan, data yang direkodkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada tahun lalu mencatatkan belia berusia antara 19 hingga 39 tahun adalah kumpulan paling tinggi dengan rekod seramai 90,520 penagih.

Jika melihat kepada keseluruhan jumlah penagih dadah yang direkod sepanjang tahun lalu adalah seramai 145,526 orang dengan 139,208 adalah lelaki manakala 6,318 pula golongan wanita.

Walau bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk kajian Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC), yang menganggarkan setiap seorang penagih yang dikesan, masih terdapat lima orang yang masih berada dalam komuniti.

Secara purata jika dinilai berdasarkan statistik terkini, Malaysia mempunyai kira-kira 726,280 penagih yang masih bebas hidup bersama komuniti tanpa menjalani proses rawatan dan pemulihan yang sewajarnya.

Ini yang menjadi kerisauan banyak pihak baik ahli keluarga, komuniti dan masyarakat sekitar kerana keberadaan mereka ini boleh menimbulkan pelbagai kejadian yang tidak disangka.

Apatah lagi negara sering dikejutkan dengan kejadian yang dahsyat seperti pembunuhan ahli keluarga dan pelbagai jenayah lain akibat ketagihan bahan terlarang.

Sehubungan itu, AADK terus mengorak langkah dengan melakukan beberapa revolusi khususnya dalam usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan serta tindakan penguatkuasaan undang-undang.

Dalam aspek pencegahan, Kempen Lebih Baik Cegah diteruskan lagi pada tahun ini sempena Peringatan Hari Antidadah 2024. Menerusi kempen ini, tiga objektif utama ditetapkan iaitu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang. Selain itu, untuk mengubah sikap dan tingkah laku masyarakat supaya terus menghindarkan diri dan keluarga dari gejala dadah serta mendapatkan dan memelihara sokongan rakyat untuk sama-sama bangkit memerangi dadah.

Bertunjangkan kepada objektif itu, maka dapat diringkaskan bahawa membina kesedaran, memberikan maklumat dan membentuk sikap yang negatif terhadap dadah adalah fokus utama AADK bagi memastikan masyarakat mengetengahkan isu penagihan bukan sebagai perkara biasa yang tidak memerlukan tindakan sewajarnya dalam kalangan komuniti, sebaliknya ia menjadi kerisauan di segenap lapisan masyarakat.

Isu (ketagihan dadah) dianggap normal selagi tidak berlaku kejadian yang tidak diingin seperti pukul, rompak atau bunuh. Selagi isu-isu itu tidak timbul, masyarakat boleh dikatakan hanya sekadar tahu tentang bahaya kes penagihan dadah.

Oleh itu, adalah wajar untuk mereka terus menyalurkan kes tersebut kepada AADK agar tindakan tuntas boleh diambil khususnya dalam usaha membantu merawat pulih mereka yang terjebak dengan aktiviti berbahaya tersebut.

Melalui usaha untuk membentuk dan membina kesedaran tersebut, masyarakat perlu memahami dan mempunyai pengetahuan yang jelas tentang jenis-jenis dadah, risiko yang berkaitan dan kesan negatifnya kepada semua pihak jika mengambil bahan terlarang itu. Ini diyakini dapat memastikan masyarakat khususnya institusi keluarga mengetahui tentang trend atau perubahan aktiviti-aktiviti penagihan dadah masa kini khususnya bagi dadah jenis sintetik.

Diakui masih ramai lagi yang kurang mengetahui tentang perubahan penagihan dan ini perlu disebarluaskan agar masyarakat cakna dan sedar tentang aktiviti tersebut jika berlaku di rumah.

Selain itu, usaha untuk mengubah sikap dan tingkah laku masyarakat supaya terus menghindarkan diri dan keluarga daripada gejala dadah perlu dipergiatkan lagi. Usaha ini mampu menjadikan seseorang mempunyai ‘kuasa’ dan kebolehan yang kuat untuk menolak jika ada penawaran untuk menyalah guna bahan-bahan terlarang meskipun bermula dengan vape, rokok atau ketum.

Berdasarkan kajian, bahan-bahan tersebut menjadi punca berlakunya kes-kes penagihan baharu selain daripada faktor-faktor lain yang dikesan banyak pihak. Dengan cara itu, seseorang mempunyai kemahiran untuk mengelak, menolak sebarang bentuk ajakan atau tekanan khususnya daripada rakan sebaya. Ini juga dilihat berupaya mewujudkan pembentukan daya tahan yang kuat dalam mengatasi cabaran hidup tanpa bergantung kepada dadah dan bahan terlarang.

KELUARGA
Selain itu juga, langkah untuk memperkuatkan hubungan kekeluargaan juga adalah salah satu usaha yang boleh dipraktikkan bagi membendung kewujudan kes-kes penagihan dadah di rumah. Usaha ini boleh dilakukan dengan menyokong komunikasi antara ibu bapa dan anak serta meningkatkan peranan keluarga dalam mencegah penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dengan mewujudkan persekitaran yang harmoni, bahagia dan stabil.

Hal ini dapat dikaitkan dengan beberapa dapatan kajian yang menyatakan permasalahan dalam institusi kekeluargaan menjadi penyumbang kepada pengambilan bahan terlarang dalam kalangan anak-anak. Mereka berasa tertekan dengan masalah keluarga sehingga memilih jalan pintas untuk mendapatkan ketenangan atau meredakan rasa serabut tersebut.

Bercakap tentang slogan baharu ,‘Tak Payah, Tak Nak’ yang diperkenalkan dalam kempen Peringatan Hari Antidadah 2024, ia bertujuan mengingatkan semua kumpulan sasaran untuk menolak dadah melalui slogan dan tindakan.

‘Tak Payah’ mendedahkan individu supaya tidak perlu pengambilan dadah kerana terdapat pelbagai alternatif lain untuk menjadi lebih positif dalam hidup dan mengurangkan perkara negatif manakala ‘Tak Nak’ adalah peneguhan asertif menolak dadah dengan tegas melalui empat tip mudah iaitu katakan tidak, usah hirau ajakan, tukar tajuk perbualan dan beri alasan.

Bersempena dengan Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2024 yang diraikan sepanjang Februari hingga Jun, pelbagai aktiviti dilaksanakan AADK di seluruh negara meliputi tiga bidang teras iaitu pencegahan, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan dan keselamatan.
Program tersebut bertujuan untuk mengingatkan masyarakat serta mengukuhkan komitmen dan tanggungjawab selain menggembleng kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat dalam usaha pencegahan dadah secara holistik.

Sesungguhnya, setiap program yang diketengahkan AADK adalah menjadi benteng pertahanan diri yang kuat dan berkisarkan dengan pencegahan dadah bermula di rumah. Ini semua akan menuntut pengorbanan dan usaha secara berterusan daripada semua pihak khususnya institusi kekeluargaan dalam memastikan benteng ini dapat diperkukuhkan.

Maka, ayuh seluruh rakyat Malaysia bersama berganding bahu dalam usaha membendung bahaya dadah dan kekalkan ia menjadi musuh negara sampai bila-bila.-UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN