Azeem peroleh tonik terbaik buru tiket Olimpik Paris

Azeem peroleh tonik terbaik buru tiket Olimpik Paris 

MUHAMMAD Azeem Fahmi raih gangsa di Terbuka Kazakhstan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi tekad untuk mencipta kejutan dalam misi memburu slot ke Sukan Olimpik Paris pada dua kejohanan terakhir yang bakal disertainya.

Azeem, 20, menerima tonik terbaik apabila berjaya membantu pasukan 4×100 meter (m) memenangi pingat emas dalam Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) Amerika Syarikat (AS) di Oregon, semalam.

Atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu mengakui tidak menyangka dapat membantu pasukannya memenangi emas berikutan pertandingan tersebut disertai pelumba terbaik dunia.

“Hanya seorang budak yang mempunyai impian besar. Siapa sangka bahawa terdapat seorang rakyat Malaysia berlari menentang pelari pantas dari seluruh dunia.

“Syukur untuk segala-galanya. Lebih banyak lagi akan datang dan terima kasih atas sokongan dan doa. Alhamdulillah,” katanya.

Azeem yang mewakili Universiti Auburn memenangi pingat emas rakan sepasukan iaitu Kanysola Ajayi, Dario Matau dan Makanakishe Charamba selepas merekodkan catatan peribadi terbaik mereka 38.03 saat (s).

Pingat perak diraih Universiti Louisiana (LSU) dengan 38.21s manakala Universiti Houston melengkapkan pentas podium dengan meraih gangsa menerusi catatan 38.25s.

Kejayaan itu tentu menjadi pembakar semangat buat Azeem yang masih memburu slot kelayakan 100m ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit dengan melepasi had kelayakan ditetapkan, 10s.

Azeem dijadual menyertai Terbuka Malaysia pada 14 hingga 16 Jun ini disusuli Terbuka Kazakhstan (23-24 Jun) di mana kedua-dua kejohanan itu menawarkan tiket ke Olimpik Paris sebelum tarikh tutup penyertaan pada 30 Jun ini. 

Azeem turut menyertai Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia pada 2 hingga 5 Julai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN