TIMBUL persoalan sama ada Yang di-Pertua Dewan Rakyat mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan kekosongan kerusi ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri. Perkara ini timbul berikutan enam orang ahli Parlimen berkenaan memberikan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri tanpa keluar parti. Mereka juga memohon untuk menukar tempat duduk dalam Dewan Rakyat agar tidak lagi bersama-sama ahli Parlimen pembangkang lain.
Perkara 49A Perlembagaan menganggap ‘lompat parti’ berlaku dalam dua keadaan iaitu pertamanya apabila wakil rakyat itu ‘melepaskan keanggotaan parti’ dan keduanya, apabila wakil rakyat itu ‘tidak lagi menjadi anggota parti politik itu’.
Situasi pertama mudah ditafsirkan kerana ia boleh berlaku apabila seseorang wakil rakyat mengisytiharkan keluar dari parti secara terbuka. Maka dalam keadaan ini, dia dianggap lompat parti dan kerusinya hilang.
Namun situasi kedua iaitu frasa ‘tidak lagi menjadi anggota parti politik itu’ menimbulkan pelbagai tafsiran. Perlu diingat bahawa setiap peruntukan undang-undang mesti mempunyai tujuan dan kesan. Jika tidak, undang-undang itu tidak berguna dan tidak perlu diwujudkan. Jadi apa tujuan diwujudkan situasi kedua ini? Apa perbezaannya dengan situasi pertama?
Sebenarnya frasa ini diwujudkan sebagai satu mekanisme pengimbang antara hak demokratik seseorang wakil rakyat dan kawalan terhadap budaya lompat parti yang boleh menjejaskan kestabilan politik. Mekanisme ini bertujuan untuk membolehkan mana-mana parti yang ingin menguatkan kawalan terhadap wakil rakyat yang mewakili partinya agar mewujudkan sekatan yang lebih ketat melalui pindaan perlembagaan parti.
Beberapa parti seperti DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) melakukan pindaan parti bagi memberikan definisi kepada maksud ‘tidak lagi menjadi anggota parti politik’. Dan yang terbaharu, pindaan yang serupa diperkenalkan oleh Bersatu.
Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu memperuntukkan bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) boleh mengeluarkan apa-apa arahan khusus secara bertulis kepada mana-mana wakil rakyat. Manakala fasal 10.4 menyebut bahawa mana-mana wakil rakyat Bersatu yang tidak patuh terhadap apa-apa arahan di bawah fasal 10.5 adalah disifatkan ‘terhenti keahliannya dari parti Bersatu secara serta-merta.
Beberapa minggu lepas ahli-ahli Parlimen Bersatu diberikan surat yang mengandungi arahan khusus dan difahamkan bahawa enam orang wakil rakyat berkenaan enggan menjawab surat tersebut, sekali gus dianggap tidak mematuhi arahan khusus berkenaan. Soalnya adakah keengganan tu telah menjadikan keahlian mereka dalam Bersatu terhenti secara serta-merta.
Jika kembali merujuk kepada tujuan pindaan Perlembagaan yang mewujudkan undang-undang anti-lompat dan meneliti tujuan Perkara 49A(a)(ii) yang mengandungi frasa ‘tidak lagi menjadi anggota parti politik’, serta keengganan enam wakil rakyat berkenaan mematuhi arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, maka sewajarnya enam kerusi berkenaan diisytiharkan kosong. Tambahan pula arahan khusus yang diberikan oleh MPT berkait rapat dengan perkara yang paling asas kepada kesetiaan politik yang menjadi inti pati kepada peraturan anti-lompat parti.
Berbalik kepada persoalan awal iaitu berkaitan kuasa Yang di-Pertua Dewan Rakyat dalam menentukan nasib enam wakil rakyat berkenaan. Perkara 49A (3) memperuntukkan bahawa bilamana Yang di-Pertua menerima notis bertulis daripada mana-mana ahli Dewan Rakyat mengenai berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat, Yang di-Pertua hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka itu dan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sewajarnya dalam tempoh 21 hari dari tarikh dia menerima notis bertulis itu.
Frasa yang menyebut bahawa Yang di-Pertua ‘hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka itu’ tidak boleh ditafsirkan sebagai memberikan kuasa mutlak kepada beliau untuk membuat keputusan. Beliau perlu melaksanakan pertimbangan dan penelitian, namun semuanya perlu dilakukan berasaskan kepada prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan terutamanya Perkara 49A. Bahkan keputusan yang dibuat oleh beliau tetap tertakluk kepada semakan kehakiman khususnya Mahkamah Persekutuan yang mempunyai kuasa dalam mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga bertanggungjawab untuk menghalusi tujuan di sebalik peruntukan Perkara 49A Perlembagaan. Catatan perbahasan di dalam Dewan Rakyat sewaktu pembentangan rang undang-undang pindaan perlembagaan berkenaan secara jelas menyebut tentang tujuan frasa ‘tidak lagi menjadi anggota parti politik’ adalah untuk memberikan ruang kepada parti politik menentukan garis kebebasan anggota perwakilan dari parti masing-masing melalui peruntukan perlembagaan parti.
SIA-SIA
Beliau juga perlu mendalami implikasi kepada keputusan yang dibuat. Jika tindakan enam wakil rakyat ini masih ditafsirkan sebagai bukan ‘lompat parti’, maka undang-undang anti-lompat parti menjadi sia-sia dan tidak berkesan.
Selepas ini, tidak mustahil akan ada wakil rakyat Bersatu atau parti lain termasuk dari parti kerajaan menukar sokongan tanpa keluar parti.
Bahkan kedudukan kerajaan akan tergugat bila ada wakil rakyat dari parti komponen kerajaan yang memberikan kepercayaan kepada tokoh lain untuk menjadi Perdana Menteri tanpa mengisytiharkan keluar parti.
Undang-undang anti-lompat parti dibuat dalam situasi berlakukan perubahan kerajaan yang kerap selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akibat perubahan sokongan politik yang ketara gara-gara budaya lompat parti.
Perubahan kerajaan yang kerap menjejaskan kestabilan politik seterusnya mengikis keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap keutuhan pentadbiran kerajaan. Bahkan kemelut politik yang berlaku dalam tempoh berkenaan juga menjejaskan fokus kerajaan untuk melaksanakan program pembangunan negara dan pengukuhan ekonomi.
Tindakan enam wakil rakyat dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang menukar sokongan tanpa keluar parti adalah satu helah politik yang sangat jelas. Atas kertas mereka masih ahli Bersatu tetapi hakikatnya mereka telah terpisah dari parti mereka. Undang-undang bukan pelindung kepada pembelot.
Tentunya Yang di-Pertua Dewan Rakyat amat memahami bahawa kewibawaannya terletak kepada ketegasan, keadilan serta keteguhannya dalam mempertahankan Perlembagaan. Mengetuai badan legislatif menuntut seseorang Yang di-Pertua Dewan Rakyat bertindak dengan saksama dan bebas tanpa memihak atau tidak terikat dengan kecenderungan politik.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof ialah Pensyarah Pusat Polisi Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.










