KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia membuktikan kemampuannya di hadapan penyokong sendiri selepas melakar kemenangan pertama hari ini untuk beraksi pada pusingan kedua Masters Malaysia 2024.
Dalam permainan yang berlanjutan selama sejam, Zii Jia bangkit dari kekalahan set pertama kepada pemain China, Zhao Jun Peng untuk menewaskan wakil negara tembok besar itu 19-21, 21-11, 21-14.
Juara Thailand Masters minggu lalu itu akan meletakkan fokus sepenuhnya pada pusingan kedua esok biarpun bertemu pemain muda dari India, Kiran George.
“Saya gembira dengan permainan ini. Saya mendapat perkara ini dari sudut yang positif. Esok saya akan fikir bagaimana mahu perbaiki kesilapan yang saya lakukan hari ini.
“Esok akan bertemu dengan George. Dia seorang yang muda dan tiada tekanan yang dialami. Tugas dia hanya untuk melakukan kejutan ke atas pemain ternama. Ini mungkin satu cabaran baharu kepada saya,” katanya selepas perlawanan di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Dalam satu lagi aksi, Leong Jun Hao turut mengikut jejak langkah Zii Jia selepas berjaya melunaskan dendam terhadap lawannya dari China, Lei Lan Xi pada pusingan pertama, hari ini.
Pemain berusia 25 tahun itu menewaskan Lan Xi 13-21, 23-21, 21-12 dalam perlawanan yang penuh dramatik untuk mara ke 16 terakhir selepas menebus kekalahannya ketika tewas pada Masters Korea 2023 di peringkat suku akhir.
Beliau berkata, prestasinya dalam jangka masa tujuh bulan sejak dari kejohanan di Korea Selatan itu ternyata mempamerkan keputusan memberangsangkan.
“Hari ini menang beberapa mata yang lebih dari sebelum ini. Dari segi keputusan saya lihat banyak peningkatan. Saya perlu kekalkan prestasi dan momentum untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu acara perseorangan wanita Goh Jin Wei akhirnya lulus ujian pertama menewaskan wakil Ukraine, Polina Buhrova 21-16, 18-21, 21-14.
Jin Wei bakal menghadapi ujian getir pada pusingan 16 terakhir bertemu musuh lamanya, Busanan Ongbamrungphan susulan tiga pertemuan mereka menjadi milik pemain Thailand terbabit. – UTUSAN








