MUKADIMAH
TERDAPAT 292 Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mempunyai 155,728 unit di seluruh negara secara tidak langsung menunjukkan kepadatan komuniti di projek perumahan awam tersebut.
Perkara itu menuntut Think City selaku sebuah organisasi memberi tumpuan kepada peningkatan daya huni PPR untuk menggerakkan Program K2K bagi menangani kekangan taraf hidup yang dihadapi warga komuniti perumahan awam.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR dan jurufoto, AMARULLAH ZAINUZZAMAN, Pengarah Program K2K, DR. SHAHRIDAN FAIEZ menjelaskan perjalanan projek perintisnya melibatkan 10 PPR dalam pertemuan berlangsung selama sejam, baru-baru ini.
MATLAMAT PROGRAM
K2K bermaksud ‘Kita Untuk Kita’ yang melambangkan satu falsafah yang mana kita berdikari menganjurkan aktiviti mengubah nasib dalam komuniti. Idea ini terbentuk apabila terlibat secara langsung sejak pandemik Covid-19 dengan berdepan komuniti PPR yang sememangnya dalam situasi kekangan amat serius dengan hidup cabaran dan keterbatasan ruang.
Malah mereka tertekan daripada segi ekonomi apabila hilang pekerjaan dan kebanyakan mereka hidup ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Ahli komuniti menunjukkan semangat luar biasa termasuk menangani masalah dan mencari penyelesaian untuk menyusun organisasi sekali gus cabaran yang dihadapi. Berbekalkan semangat ini, kami rasa tergerak dan bermotivasi.
Maka secara umumnya, ia adalah program pemerkasaan komuniti untuk meningkatkan daya huni penduduk PPR.
MASALAH UTAMA
Apabila kita turun padang, dapati banyak masalah daripada isu kebersihan, infrastruktur kurang memadai, perkhidmatan yang kurang memuaskan, sosial dan ekonomi serta pelbagai lagi.
Apabila berbicara masalah PPR, ramai merumuskan ia masalah sikap. Tetapi sebaik kami mendekati dengan mereka dan mula menjalankan kajian dan memahami lebih mendalam, didapati soal sikap bukan sesuatu yang tepat malah menghalang kita melihat isu-isu utama.
Saya beri contoh keadaan sebuah PPR, bangun pagi dapati bau sampah yang berada di koridor, kita tegur orang sebelah mengapa buang? Dia pun jawab umur sudah 60 tahun dan lif sudah lama rosak, memang tidak boleh buang sampah di bawah. Jadi ia menjadi masalah berkaitan atau rantaian.
Apabila kita buat kajian melibatkan universiti awam dapati masalah cacing dalam anak-anak lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak PPR. Seain itu masalah penyakit tikus lebih tinggi. Maka isu sampah dan infrastruktur merupakan isu rantaian yang mempunyai pelbagai impak.
Jadi tidak mustahil kajian UNICEF baru-baru ini yang mendapati kadar pembantutan dalam kalangan anak-anak PPR lebih tinggi. Akhirnya mencetuskan masalah pengembangan pendidikan. Masalah ini adalah kompleks bermula daripada kebersihan, kesihatan, kebantutan dan seterusnya pendidikan serta keciciran dan sosial.
Dalam istilah sosiologi ‘Broken Window Theory’ bermaksud jika satu tingkap rumah pecah dan tidak dibaiki dengan cepat, maka tingkap lain akan pecah. Dalam konteks PPR adalah sama, jika orang buang sampah, berlaku vandalisme rosak lif, maka orang lain pun buat perkara sama.
Selain itu masalah utama adalah kesepaduan sosial yang rendah. Maksudnya kebolehan warga bekerjasama dan menangani masalah adalah sukar. Saya beri contoh satu PPR, bila saya turun padang dan dapati bau kencing, akhirnya timbul banyak isu.
Saya bertanya kepada seorang warga mengapa banyak orang kencing merata, dia jawab berpunca daripada anak-anak. Tanya balik mengapa tidak tegur? Dia jawab kalau tegur nanti, tentu kereta saya kena calar dan tayar pancit. Jadi ini bermaksud wujud ketidakpercayaan atau defisit kepercayaan dalam kalangan komuniti.
Untuk menyelesaikan masalah ini, PPR kena hidup dalam satu komuniti. Tiada guna penguatkuasaan, selagi wujud masalah social cohesion.
STIGMA NEGATIF
Sebenarnya stigma ini tidak betul. Kita harus ada sikap empati memandangkan mereka hidup di luar kuasa. Kita harus kagum dengan mereka walaupun hidup dalam situasi agak teruk, tapi dapat mencorakkan satu kehidupan amat bermakna.
Sekiranya mahu menunjukkan apakah maksud Masyarakat Madani, program K2K ini adalah jawapannya.
Selama ini kita lihat masalah projek perumahan awam ini daripada segi fizikal dan infrastruktur, bukan dimensi keseluruhan sedangkan dalam komuniti ini ramai warga PPR yang perlu hidup bersama. Jadi harus perhatian terhadap pembangunan sosial, kita kurang dalam aspek ini. Bila tidak cukup, ia menjadi pelbagai masalah.
KOMUNITI FORUM
Pertamanya JMB (badan pengurusan bersama) ini pembangunan strata seperti kondominium dan flat, PPR lain. Keduanya, ada warga PPR merupakan penyewa, ada juga berstatus sewa untuk beli, ada juga pembeli. Kebanyakkan PPR ada penyewa.
Selain itu, terdapat banyak persatuan PPR iaitu komuniti berdasarkan organisasi seperti persatuan surau dan Kawasan Rukun Negara (KRT). Kita dapati komuniti ini keberkesanan adalah kurang kerana bersuara mewakili komuniti tertentu, bukan secara keseluruhan.
Malah kepercayaan penduduk terhadap organisasi komuniti adalah rendah. Jadi keahlian rendah, maka tidak dapat mengetengahkan isu-isu di PPR.
Sememangnya harus ada satu platform untuk menggabungkan satu komuniti secara keseluruhan memandangkan komuniti di PPR adalah besar. Contohnya PPR Lembah Subang Satu, populasi komuniti antara 12,000 hingga 15,000 orang berbanding PPR lain antara 5,000 dan 8,000 orang.
Jadi K2K mahu mewujudkan Komuniti Forum sebagai platform yang cuba mewakili penduduk PPR yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
PERANAN SEBENAR
Fokus kita adalah pemerkasaan komuniti untuk meningkatkan daya huni di PPR. Kita beri tumpuan untuk membawa kembali warga PPR menjadi satu komuniti yang mantap dan mempunyai semangat kekitaan yang tinggi. Apabila wujud semangat ini, maka timbullah sikap tindakan sama. Ini fundamental asas K2K iaitu ‘Kita Untuk Kita’
Memandangkan isu dan masalah setiap PPR berbeza, jadi kita mahu mereka menggunakan sikap kebersamaan ini, untuk mengatasi masalah dihadapi. Tidak kira sama ada kebersihan, kesihatan dan sosial.
Tidak lagi tunggu tindak balas kerajaan, sebaliknya mereka sendiri mengambil inisiatif untuk melaksanakan langkah atau menyelesaikan situasi kehidupan dihadapi mereka.
Kedua adalah suara. Ia bermakna penduduk mampu menyalurkan suara dalam satu komuniti maka ia mudah didengari sekali gus isu-isu dikemukakan dapat diselesaikan segera. Ia dapat menyelesaikan secara bersama, tanpa bergantung kepada kerajaan semata-mata.
Alhamdulillah program fasa satu melibatkan projek perintis di 10 PPR dengan mewujudkan Forum Komuniti atau Forkum. Ia menjadi platform bagi mengadakan program pemerkasaan.
Contohnya kita menganjurkan program untuk mereka minat bola sepak dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), bukan hanya untuk program sukan tapi merangkumi pendedahan industri sukan itu sendiri. Bukan sahaja main bola, tapi merangkumi jurugambar sukan, ejen sukan dan sebagainya.
Kita juga melancarkan Geran Komuniti K2K. Ia menggalakkan komuniti secara keseluruhan mengutarakan idea-idea mereka yang dapat menyelesaikan isu dihadapi selama ini. Berbanding sebelum ini, banyak program dianjurkan daripada orang luar yang tidak tahu mengetahui masalah sebenar.
Sebaliknya kali ini, kita mengadakan program berdasarkan kehendak komuniti PPR sendiri.
Pendekatan bottom up ini bermakna mereka tahu masalah dihadapi, mereka tahu sendiri menyelesaikannya.
OUTCOME
Ia merupakan program 18 bulan mula Jun 2023 dan berakhir Disember tahun ini. Ia mempunyai empat peringkat dan bermula dengan diagnostik terlebih dahulu. Seterusnya peringkat mobilisasi komuniti, ia bukan mudah kerana terpaksa berdepan dengan warga yang mempunyai krisis kepercayaan dengan orang luar. Jadi ia memerlukan pendekatan inovatif untuk mendekati mereka.
Apabila berlaku mobilisasi komuniti, maka seterusnya terbentuk proses Forum Komuniti. Alhamdulillah kita berjaya merapatkan hubungan mereka. Sekarang dah memasuki tahap keempat iaitu konsolisasi atau penyatuan. Jadi intipati program ini untuk meningkatkan kebolehan warga PPR.
Jadi kita akan lihat hasil menerusi projek perintis di 10 PPR dalam Lembah Klang iaitu Seri Selangor, Seri Sarawak, Hang Tuah, Seri Cempaka, Seri Kota, Taman Mulia, Seri Sabah 3A, Desa Tun Razak, Kampung Baru HICOM dan Lembah Subang 1. Dalam sebulan ini, kami sedang buat penemuan utama dan akan maklumkan hasilnya kepada masyarakat.
Bermatlamat program sokongan dan tidak lagi hanya kepada bantuan semata-mata, K2K yang kini di peringkat perintis untuk melahirkan generasi PPR yang tidak lagi bergantung kerajaan semata-mata, sebaliknya menyelesaikan masalah secara bersama.-UTUSAN










