UMNO sudah 78 tahun, biar segagah usianya

UMNO sudah 78 tahun, biar segagah usianya

UMNO tetap dipertaruhkan harapan sebagai parti yang boleh mempertahankan kedaulatan raja, bangsa, agama dan tanah air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBINA dan membuktikan kekuatan bukan semudah tercipta dalam tempoh yang singkat. Manakala, masa yang panjang tidak mungkin berlalu tanpa cabaran, pahit getir, payah dan senang.

Demikian apa yang dialami oleh UMNO, sebuah parti politik yang terkait rapat dengan sejarah kemerdekaan tanah air serta hakikat penglibatannya dalam mendominasi pemerintahan negara, mengisi kemerdekaan, menghasil kemakmuran sehingga mampu dinikmati semua.

Sejarah adalah kenyataan. Apa yang dialami, dilalui dan dirasai adalah sumber pengisian sejarah yang tidak boleh dinafi. Lebih 60 tahun UMNO gagah menerajui negara, bergerak bersama-sama dalam gabungan Perikatan dan kemudiannya dalam Barisan Nasional (BN), ternyata membawa kejayaan selesa dan gemilang bagi rakyat dan negara.

Sengaja dicatat sekilas kenangan tentang UMNO dan keupayaannya memerintah negara untuk menyegarkan keyakinan bahawa parti itu boleh kembali ke status asal jika diatur dengan rapi, disusun dengan cermat serta digerak dengan berkesan. UMNO menelusuri perjalanan kerjasama dengan rakan-rakan gabungan secara konsensus, sederhana, inklusif dan adil untuk semua. Konsep dan pendekatan ini ternyata menghasilkan harmoni dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat.

UMNO tidak boleh membiarkan dirinya uzur atau ‘keletihan’ atas faktor usia. Sepatutnya semakin berusia semakin bersemangat dan lebih gagah menempuh cabaran bagi menggapai semula kecemerlangan. Parti yang tetap dianggap menjadi cagaran dan sandaran utama orang Melayu itu perlu bangkit dan disegarkan kembali demi survival agama, bangsa dan tanah air. Apatah lagi dalam suasana politik yang masih ‘redup dan ada kala ribut.’

Rakyat bukan tolak UMNO, tetapi UMNO perlu dilihat dapat mengekalkan ‘keunggulan’ tanpa ketirisan unsur yang menjadi sangsi dan diragui. Ada banyak cerita-cerita negatif dikaitkan dengan UMNO. Sama ada cerita-cerita itu berupa kenyataan mahupun rekaan, masyarakat mahukan penjelasan tepat dan memuaskan. Mungkin kerana kurang dipeduli atas masing-masing bersikap sengaja ‘melepas tangan’ atau ‘saling berharap’, sebarang isu yang berbangkit atau tersebar tinggal terbiar tanpa penjelasan.

Ada anak-anak muda yang ditemui dengan mudah menyebut, “Kami tahu UMNO itu parti keramat orang Melayu, tentang jasa dan upayanya memerintah negara, tetapi pastikah tadbir urus dan prestasi UMNO itu dikekalkan seperti sebelumnya?”.

Satu cabaran bagi UMNO untuk meyakinkan anak-anak muda, bahawa parti itu dengan kesinambungan barisan kepimpinan yang ada, tetap relevan dan merupakan pilihan tepat demi survival bangsa, agama dan tanah air.

Perbanyakkan sesi penerangan tentang kepentingan politik dan ‘kuasa pemerintahan’. Jayakan konsep ‘sekolah politik’ dalam kalangan anak-anak muda. Munculkan tokoh-tokoh baharu di kalangan mereka, yang boleh menggantikan tokoh-tokoh lama yang bersedia berundur.

Manakala terdapat tokoh-tokoh masyarakat yang dahulunya pernah menjadi pegawai-pegawai kanan dalam sektor perkhidmatan awam atau swasta, meluahkan kesal kerana di antara mereka bersedia untuk menyumbang tenaga, memberi pemahaman mengenai ehwal politik semasa kepada orang ramai, namun seolah-olah ‘tidak diambil kisah’ pun oleh pemimpin UMNO, jauh sekali dihargai.

Silap! Kalau dilihat kehadiran tokoh-tokoh lama ini boleh mengancam kedudukan mereka dalam bahagian atau semasa memilih calon untuk bertanding dalam pilihan raya.

JANGAN REMEHKAN ‘PENDAMPING’
Dikatakan terdapat lebih tiga juta golongan berusia melepasi 60 tahun, yang pernah memegang jawatan-jawatan utama atau kanan dalam sektor awam berada dalam masyarakat. Sebelum ini mereka pernah menjadi pengatur strategi dan penggerak utama dasar-dasar kerajaan, selain bertindak selari dengan pemimpin negara bagi menegakkan kestabilan dan kelangsungan kemakmuran negara.

Mereka kini secara tidak langsung sudah menjadi ‘pendamping’ masyarakat. Mereka berada di masjid-masjid atau surau, di kedai-kedai kopi atau dalam mana-mana khalayak persatuan penduduk. Mereka ada pengaruh tersendiri. Suara dan penjelasan mereka tentang perkembangan politik semasa didengar dan mudah diterima. Jadi, UMNO jangan ‘remehkan’ golongan pendamping ini.

Tindakan terbaik oleh UMNO adalah mengharapkan sokongan ramai, bukan menganggap orang perlukan mereka. Semua pihak yang mampu menyumbang dalam apa bentuk dan sudut sokongan perlu dialu-alukan dan dihargai.

Lebih diutamakan oleh rakyat dan masyarakat Melayu ialah daya tadbir urus parti yang berkesan untuk kebaikan dan kebajikan masyarakat. Seperti yang sering diluahkan umum, harapan besar rakyat terhadap seseorang yang digelar ‘pemimpin’ mestilah bijak, ramah berbudi, berwibawa serta beramanah memikul tanggungjawab.

Tidak perlu takut atau ragu untuk menyatakan secara terbuka tentang jasa dan keupayaan UMNO mewarnai kemajuan negara terutama golongan Melayu dan bumiputera.

Tampilkan contoh-contoh jelas dalam sebarang perencanaan dasar, penubuhan institusi dan sebarang sumbangan ketara kerajaan di bawah penerajuan UMNO terhadap orang Melayu dan kaum bumiputera di samping bertindak adil untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

Keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan juga mencabar keyakinan orang Melayu terhadapnya. Ramai yang ada kala sangsi sama ada parti itu sedia berlembut atau bertoleransi dengan tindakan-tindakan sesetengah pihak yang semacam ‘tidak pernah surut’ mahu ‘menceroboh’ hak-hak keistimewaan raja, agama, bangsa Melayu (3R), walaupun semua itu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?

Dari naratif umum khususnya kalangan orang-orang Melayu, dapat dirumuskan, bahawa UMNO tetap dipertaruhkan harapan sebagai parti yang boleh mempertahankan kedaulatan raja, bangsa, agama dan tanah air.

UMNO perlu menanam azam dan berusaha untuk kembali meraih sokongan dua-pertiga di Dewan Rakyat sambil memastikan tiada hak tergadai, tiada keistimewaan terabai!-UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN