KUALA TERENGGANU: Pasukan nombor satu Asia, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) menyasarkan lapan kedudukan podium pada dua perlumbaan penting di Jepun dan Algeria bermula Jumaat ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Nasiruddin Wan Idrus berkata, TSG diwakili enam pelumba di Jelajah Kumano pada 10 sehingga 12 Mei manakala lima lagi pelumba dihantar ke Jelajah Algeria pada 12 sehingga 21 Mei ini.
Menurut beliau, dua kejohanan berstatus 2.2 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu penting buat TSG memburu mata tambahan dalam misi mengukuhkan ranking pertama benua dan Asia.
Katanya, enam pelumba di Jepun akan diketuai pakar pendakian, Anatolii Budiyak, Jesse Ewart, Merhawi Kudus, Nur Aiman Zariff, Nur Aiman Rosli dan bintang muda, Kee Zhe Yie.
Sementara itu, ujarnya, Metkel Eyob, Aiman Cahyadi, Amirul Fakhruddin Mazuki dan Wan Abdul Rahman Hamdan pula akan membawa cabaran TSG dalam perlumbaan 10 peringkat di Algeria.
“Jelajah Kumano di Jepun menawarkan tiga peringkat perlumbaan dan TSG mempunyai rekod cemerlang tahun lalu terutama di Algeria. Jadi untuk kedua-dua kejohanan itu kami sasarkan lapan kedudukan podium.
“Sasaran itu realistik meskipun perlumbaan di Algeria dijangka lebih mencabar di semua 10 peringkat dengan laluan berbukit tetapi TSG optimis dengan kemampuan barisan pelumba.
“Selain itu, TSG juga akan menyertai tiga siri perlumbaan berstatus 1.2 UCI iaitu Grand Prix (GP) Oran, GP Annaba dan GP Alger juga di Algeria pada 11, 22 dan 24 Mei,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, Nasiruddin berkata, TSG berada di landasan terbaik untuk mengekalkan ranking pertama kategori benua dan Asia sehingga kalendar 2024 berakhir pada Oktober.
Menurutnya, TSG kini mengumpul 914 mata bagi kategori pasukan benua mengatasi Roojai Insurance (Thailand) yang memungut 684 mata manakala Kinan Racing Team (Jepun) ketiga dengan 425 mata. – UTUSAN










