KUALA LUMPUR: Lee Zii Jia mengharapkan keputusan yang positif semasa bertanding di Sukan Olimpik Paris, Julai ini untuk merangkul pingat selepas tewas kepada jaguh nombor satu dunia, Viktor Axelsen pada final Malaysia Masters, semalam.
Pada aksi akhir yang mendebarkan, pemain Denmark itu dengan garang menewaskan Zii Jia di gelanggang sendiri 21-6, 20-22, 21-13 dalam tempoh sejam tiga minit.
Axelsen berjaya memusnahkan rentak pemain berusia 26 tahun itu untuk merangkul gelaran keduanya berturut-turut sejak Terbuka Thailand 2024 sekali gus di hadapan penonton tanah air.
“Saya mendapat pengalaman yang luar biasa sejak dua minggu ini. Banyak yang saya sudah belajar dan berharap saya boleh membawa perkara positif ini untuk ke Olimpik Paris nanti.
“Secara jujurnya saya bermain yang bagus hari ini. Saya masih berfikir bagaimana saya melakukan hari ini. Saya melihat situasi itu dan hanya mengikut keadaan permainan itu,” kata Zii Jia sejurus tamat perlawanan akhir Masters Malaysia 2024.
Terdahulu, anak jati Kedah itu mencipta kejutan selepas berjaya mengungguli Terbuka Thailand 2024 di Bangkok menewaskan Ng Ka Long dari Hong Kong, minggu lalu.
Pertemuan terakhir dua pemain itu di Piala Thomas 2024 yang mana menyaksikan Axelsen menewaskan Zii Jia menerusi peringkat kumpulan.
Untuk rekod, kali terakhir dua pemain ini membuat perhitungan di peringkat akhir adalah di kejohanan All England 2021 yang mana Zii Jia menewaskan Axelsen, untuk merangkul kejuaraan sulungnya pada tahun itu.
Lebih manis buat Axelsen, ini merupakan pentas akhir serta gelaran pertama untuk musim ini berikutan prestasinya yang turun naik.
Hasil kemenangan itu, pemain berusia 30 tahun itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$31,500 (RM148,428) berserta trofi manakala Zii Jia berpuas hati dengan AS$15,960 (RM75,083) dan trofi.
Zii Jia akan meneruskan jelajahnya pada Terbuka Singapura minggu depan, Terbuka Indonesia (4 hingga 9 Jun) dan Terbuka Australia (11 hingga 16 Jun).
Mengiringi kemenangan Axelsen adalah pasangan lelaki Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen menewaskan pasangan dari Korea Selatan, Jin Yong-Na Sung Seung dalam permainan straight set 21-18,21-14. – UTUSAN










