KUALA LUMPUR: Ramai dalam kalangan penggiat sukan sepak takraw tidak berpuas hati dengan sistem baharu 15 mata dengan servis tunggal yang diperkenalkan di Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Perkara berkenaan diakui sendiri oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan kerana ada maklum balas yang mengatakan durasi perlawanan menjadi terlalu cepat.
Sehubungan itu, Sumali berkata, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) perlu melihat semua maklum balas selepas Piala Dunia Sepak Takraw 2024 berakhir bagi mencari solusi terbaik.
“Ramai rata-rata komen tidak puas hati dengan sistem ini. Memang saya sudah maklum bahawa sebelum ini kita (PSM) tidak setuju dengan sistem kiraan baharu ini, tetapi bila Istaf putuskan kita ikut.
“Mungkin selepas kejohanan ini, Istaf boleh nilai semula berdasarkan apa yang berlaku di Piala Dunia Kuala Lumpur. Sistem ini, sekiranya berlanjutan ke set ketiga memakan masa sehingga sejam lebih juga.
“Ada yang kata cepat kalau perlawanan tidak sengit. Selepas ini, kalau nak tukar sekali pun, sistem 21 mata boleh digunakan, cuma kekal satu servis…sama dengan cadangan awal Malaysia,” kata Sumali ketika ditemui pemberita.
Sebelum ini, Istaf meluluskan sistem pengiraan baharu 15 mata setiap set, dan bukannya 21 mata sebagaimana sebelumnya, bagi semua kejohanan dan pertandingan sepak takraw berkuat kuasa 2 Februari lalu.
Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader menegaskan, ahli gabungan yang enggan menggunakan sistem kiraan 15 mata bagi semua pertandingan domestik dan antarabangsa bakal berdepan tindakan.
Dalam pada itu, Sumali berkata, durian runtuh bakal menanti pemain-pemain Malaysia sekiranya berjaya melakar kejayaan besar di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa.
“InsyaAllah kita capai target kerana mara ke final dalam acara beregu dan regu. Malaysia sememangnya mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri dan di hadapan penonton-penonton.
“Saya juga sudah berjumpa dengan pemain, dan memberitahu bahawa kita tidak menjanjikan bulan bintang. Saya suruh mereka main sehabis baik dahulu, dan imbuhan itu akan datang kemudian.
“Kalau betul-betul cemerlang, InsyaAllah akan ada bonus yang setimpal dengan usaha yang ditonjolkan mereka,” ujar Sumali. – UTUSAN










