Projek NTC tetap akan menjadi kenyataan- Hamidin

Projek NTC tetap akan menjadi kenyataan- Hamidin

HAMIDIN MOHD AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) tetap menjadi realiti dan akan dibina seperti yang telah dirancang sebelum ini.

Menurut Hamidin, beliau selaku orang nombor satu badan induk bola sepak negara akan meneruskan rancangan tersebut demi merealisasikan amanat terakhir Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang juga bekas Presiden FAM.

Hamidin berkata, cadangan untuk membina NTC sudah dinyatakan sejak 2018 lagi, namun terdapat beberapa halangan seperti peruntukkan dan perubahan kepemimpinan negara menyebabkan projek tersebut tergendala.

“Masa itu (permulaan tergendala) kita tidak dapat duit daripada kerajaan, NTC ini cetusan idea Almarhum untuk melihat ada pusat latihan canggih untuk skuad negara, harapan ini berlarutan sehingga saya menjadi Presiden FAM.

“Proses ini memakan masa yang lama dan menteri juga bertukar beberapa kali dan untuk merealisasikannya melibatkan banyak pihak. Cukup saya katakan, saya perlu turun naik jumpa Perdana Menteri dan menteri banyak kali.

“Namun, peruntukkan daripada kerajaan tidak boleh disalurkan atas faktor pemilikan tanah. Bagaimanapun, semasa era YB Hannah (Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh) beliau dapat bantu selesaikan perkara ini.

“FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) juga ada salurkan dana kira-kira RM21 juta, namun ada syarat-syaratnya dan selepas dua bulan, kerajaan juga luluskan peruntukan RM45 juta,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Malaysia.

Sebelum ini, status NTC menjadi tanda tanya selepas projek mega FAM itu dikatakan tergendala dan tiada sebarang progres selepas majlis pecah tanah diadakan pada 2019 biarpun projek itu pada awalnya dijangka siap pada 2025.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata, projek NTC akan dimulakan dalam masa sebulan dua lagi dengan FIFA akan mengadakan satu majlis penyerahan projek kepada syarikat yang akan melaksanakan kerja-kerja.

“Pembinaan NTC fasa satu dengan peruntukan daripada FIFA akan melibatkan pembinaan tiga padang latihan dan fasa kedua merangkumi pusat latihan tertutup, jakuzi, gimnasium dan pusat latihan akan bermula mungkin pertengahan hujung tahun depan dengan projek keseluruhan akan siap sepenuhnya pada 2029,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN