KUALA LUMPUR: Malaysia kehilangan seorang lagi permata badminton tanah air setelah pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, Chan Peng Soon mengumumkan persaraannya pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Tunduk seawal pusingan pertama, Peng Soon yang bergandingan dengan Cheah Yee See dalam saingan beregu campuran tewas straight set kepada gandingan muda China, Cheng Xing-Li Qian 10-21, 6-21.
Kekalahan itu menjadi titik noktah kepada karier Peng Soon, 36, selama 18 tahun dan Yee See turut mengikut jejak langkah seniornya itu untuk bersara seawal usia 29 tahun.
Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir, Peng Soon yang berusaha menahan hiba dihatinya berkata, dia masih belum mampu meletakkan dirinya berada dalam suasana selesa, tetapi lega dengan keputusannya itu untuk bersara.
“Saya hendak menangis, sedih tetapi saya tahan dulu, perasaan saya sekarang ini sangat tidak selesa, tetapi saya masih mampu bertenang dan lega,” katanya.
Sementara itu, Yee See pula berkata, dia mengambil keputusan sama dengan Peng Soon untuk bersara kerana berasakan sudah tiba masanya untuk dia berbuat demikian.
“Memang sukar untuk buat keputusan ini, tetapi saya berasakan sudah tiba masanya saya ubah kehidupan saya dan tidak lagi menjadi seorang atlet,” katanya yang menyifatkan pembabitan dalam Piala Sudirman 2021 merupakan detik manis sepanjang karier. – UTUSAN











