PETALING JAYA: Walaupun gagal membawa pulang kejayaan, atlet memanah negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi berpuas hati dengan pencapaiannya di Piala Dunia Memanah Pusingan Pertama di Shanghai, China.
Ariana beraksi buat kali pertama di kejohanan tersebut April lalu berkata, beliau tidak meletakkan harapan, sebaliknya melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
“Saya boleh katakan saya berpuas hati dengan persembahan saya walaupun saya tahu saya boleh buat lebih baik. Saya pun masih belajar bagaimana untuk menyesuaikan diri beraksi dalam kejohanan di luar negara.
“Beraksi di Shanghai ada sedikit kelainan, beraksi dalam cuaca sejuk. Insya-Allah saya akan buat dan berikan pencapaian yang lebih baik di Piala Dunia Peringkat Ke-2 di Yecheon, Mei ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pemanah berusia 19 tahun itu menamatkan saingan di tempat ke-48 secara keseluruhan dalam kategori recurve individu manakala Nurul Azreena Mohamad Fazil di tempat ke-70, Syaqiera Mashayikh (ke-88) dan Ku Nurin Afiqah Kur Ruzaini (ke-19).
Bagi kategori berpasukan recurve, skuad wanita negara menduduki tempat ke-21 secara keseluruhan.
Untuk rekod, Ariana telah pun menempah tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas memenangi emas bagi acara recurve 70 meter (m) pada Kejohanan Benua Asia di Bangkok, November lalu.
Selepas ini, dia bersama rakan sepasukan bakal beraksi di Piala Dunia Memanah Pusingan Kedua di Korea Selatan pada 21 hingga 26 Mei ini sebelum ke Antalya, Türkiye bagi menghadapi Piala Dunia Memanah Pusingan Ketiga pada 18 hingga 23 Jun. – UTUSAN









