KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melangkah ke perlawanan akhir acara bola lisut selepas membenam cabaran Universiti Malaya (UM) 7-1 pada Karnival Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2024, semalam.
Ketua jurulatih UKM, Lee Keat Seng berkata, ia bagai mimpi jadi realiti kerana menyedari ia bukanlah tugas yang mudah untuk bermain di tempat lawan.
“Dari awal permainan saya sudah merasai tekanan kerana kita bermain di rumah mereka, namun saya bangga kerana anak buah saya cepat menyesuaikan diri dengan tekanan yang diberikan oleh pasukan lawan.
“Kami datang bukan untuk kalah, jadi saya katakan pada anak buah saya untuk terus berjuang sehingga ke penghujung perlawanan, dan akhirnya mereka berjaya tunjukkan pada saya, “katanya.
Menurut Keat Seng, perlawanan akhir esok pasti akan menjadi cabaran yang besar buat pasukannya apabila bertemu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini yang juga juara bertahan.
“Saya tidak berani menjamin apa-apa untuk perlawanan akhir esok (hari ini) kerana kita akan bertemu juara bertahan pada edisi lalu, tapi apa yang pasti kami sudah bersedia untuk berikan yang terbaik
“Atas kertas kita boleh tahu UPSI mempunyai kelebihan kerana pemain mereka cukup berpengalaman dan ada dalam kalangan pemain mereka merupakan pemain kebangsaan namun dalam perlawanan apa-apa pun boleh berlaku,” jelasnya. – UTUSAN








