KUALA LUMPUR: Atlet karate Universiti Putra Malaysia (UPM) P. Madhuri berjaya merangkul pingat emas kategori kumite individu wanita bawah 55 kilogram (kg) dalam Karnival Sukan MASUM 2024 semalam walaupun menghadapi kecederaan kaki.
Kecederaan itu bagaimanapun tidak menghalangnya menewaskan lawan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kiraan 8-0.
Menurut Madhuri, pada awalnya dia tampak menghadapi kesukaran , namun ia tidak mematahkan semangat untuk berjuang sehingga ke peringkat akhir.
“Saya ada kecederaan di bahagian lutut kiri selepas kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara(SEAKF) kali ke-11 di Thailand, jadi kecederaan itu sedikit sebanyak membataskan pergerakan saya, namun saya tetap fokus ketika pertarungan,” katanya.
Menurut Madhuri, kemenangan itu memberinya motivasi untuk lebih berusaha di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Sudah semestinya kejayaan saya pada hari ini akan meningkatkan lagi keyakinan saya untuk mengharumkan nama universiti dan juga negara,” katanya.
Dalam pada itu, dia berkata, persiapan kem karate Malaysia dalam menghadapi kejohanan yang terdekat berada dalam keadaan yang baik biarpun memberi tumpuan sepenuhnya pada MASUM kali ini.
“Setakat ini persiapan pasukan kebangsaan berjalan dengan lancar walaupun saya terlibat dengan MASUM pada hari ini,” jelasnya.
Sebelum ini, Madhuri yang merupakan atlet kebangsaan telah menyertai kejohanan SEAKF kali ke-11 di Bangkok, Thailand yang berlangsung pada 24 hingga 26 April lalu. – UTUSAN










