Malaysia idam kejuaraan hatrik

Malaysia idam kejuaraan hatrik

Reaksi pemain sepak takraw kebangsaan, Muhammad Haziq Hairul Nizam, Mohamad Azlan Alias serta Farhan Adam selepas menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan akhir acara regu Piala Dunia Sepaktakraw ISTAF 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, kelmarin. Malaysia menang 15-8, 15-12. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memasang impian untuk melihat skuad negara melakar kejuaraan hatrik di Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Selepas cemerlang menjadi juara dunia dalam acara beregu dan regu kelmarin, skuad negara yang dibimbing Ahmad Jais Baharun kini meneruskan perjuangan dalam kategori berpasukan.

Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata, kejayaan menjadi juara dalam acara beregu dan regu pastinya menambah semangat kepada skuad negara untuk cemerlang dalam acara berpasukan.

“Bagiamanpun, kita tidak boleh terlalu yakin. Kita bersyukur dengan dua kejayaan awal ini. Saya berharap para pemain dapat meneruskan momentum dan rasa kalau sekali lagi kita ke final, pemain akan berjuang habis-habisan.

“Acara berpasukan adalah acara yang ditunggu-tunggu, PSM sebagai penganjur Piala Dunia edisi kali ini juga menyedia piala khas untuk acara ini. Jika kita berjaya, pastilah lebih manis. Namun, saya anggap peluang masih terbuka.

“Kalau kita berdepan Thailand di final berpasukan, peluang masih 50-50 dan saya harap pemain-pemain jangan terlalu ghairah dengan dua kejayaan awal, sebab kita ada satu lagi misi yang lebih besar,” katanya.

Mengulas lanjut, Sumali berkata, kejayaan skuad beregu dan regu Malaysia menumpaskan Thailand merupakan detik istimewa bagi dirinya dan juga sukan sepak takraw di Malaysia.

“Saya tidak sekat mana-mana pasukan untuk bertanding, kita benar semua masuk dalam tiga acara dipertandingkan. Saya nak Thailand masuk sekali, sebab saya tak nak kalau kita menang beregu orang akan cakap sebab Thailand tak masuk.

“Alhamdulillah, risiko yang besar saya ambil terbalas. Yang sebenarnya Malaysia ni boleh. Bukan tak boleh. Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua peminat. Terima kasih kepada penonton yang betul-betul ramai membanjiri stadium.

“Ada juga yang cakap, kita menang sebab main di laman sendiri. Ya…Tak apalah, mana-mana komen pun kita terima. Ini adalah gelanggang kita dan sejarah pun sudah tercipta,” kata Sumali.

Dalam pada itu katanya, kejayaan skuad negara juga hasil daripada persiapan rapi yang dilakukan pasukan khusus untuk memberikan cabaran di Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

“Memang saya dah banyak kali dan saya tengok persiapan Malaysia. Kita sangat bersedia dari segi mentaliti, kecergasan, disiplin. Elemen ini lengkap bila kita dapat sokongan padu penyokong sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×