KUALA LUMPUR: Skuad lelaki negara mengesahkan tempat di empat pasukan terakhir apabila meraih kemenangan ke atas Indonesia 5-4 menerusi perlawanan akhir kumpulan B, Piala Asia Hoki Dalam Dewan 2024, di Kazakhstan.
Ketua jurulatih negara, Rodzhanizam Mat Radzi berkata, anak-anak buahnya tampil dengan bertenaga sebelum mencatat kemenangan penting itu untuk ke slot empat terakhir.
“Segala perancangan diikuti dengan baik oleh pemain. Semangat juang yang tinggi ditunjukkan oleh mereka semua. Keinginan untuk menang begitu tinggi, pujian harus diberikan kepada setiap pemain.
“Walaupun masih lagi ada kesilapan yang mudah dilakukan oleh pemain, mereka bangkit untuk menutupnya. Tahniah kepada semua pemain bermain mengikut perancangan yang dibuat oleh barisan kejurulatihan,” katanya.
Ketua pasukan skuad negara, Najmi Farizal Jazlan menjaringkan dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit keempat dan 29.
Skuad negara enggan memberi muka selepas Faridzul Afiq meledak gol padang di minit ke-35 serta Firdaus Omar dan Aslam Mohamed Hanafiah turut menyumbang jaringan pada minit ke-9 dan 20.
Pasukan seberang berjaya menyumbang dua gol menerusi Muhamad Alfiana manakala baki dijaringkan olen Revo Priliandro dan Adi Leksono.
Terdahulu, Malaysia mencatat keputusan seri 3-3 keatas Kazahstan pada perlawanan kedua kumpulan B.
Selain Malaysia, Iran dan Thailand turut melayakkan diri ke separuh akhir diikuti tuan rumah untuk memburu dua tempat teratas bagi mara ke final.
Finalis Hoki Piala Asia Dalam Dewan 2024 bakal melayakkan diri ke saingan Piala Dunia yang akan berlangsung tahun depan. – UTUSAN










