KUALA LUMPUR: Hanya 64 hari sebelum Sukan Olimpik Paris 2024, pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom bergelut dengan kecederaan serta jangkitan bakteria.
Shah Firdaus berkata, perkara itu dimaklumkan Institut Sukan Negara (ISN) berkenaan otot tendon bahu kirinya koyak susulan kemalangan ketika sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai, Januari lalu.
Apa yang membimbangkan, keadaan yang dihadapi pelumba negara itu dikhuatiri menjejaskan persiapannya untuk membuat penampilan kedua di pentas Olimpik, Julai ini.
“ISN mengesahkan melalui pengimejan resonans magnetik (MRI) dan hasil menunjukkan otot bahu kiri saya koyak menyebabkan pergerakan saya terganggu serta-merta.
“Doktor beri cadangan untuk memberi suntikan bagi membantu saya pilih dengan cepat menjelang latihan di Eropah nanti,” katanya.
Terdahulu, Shah Firdaus bersama adiknya, Muhammad Ridwan mewakili Johor meraih pingat perak dan gangsa dalam acara keirin elit selepas tewas kepada Datuk Azizulhasni Awang yang merangkul emas pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2024.
Dalam pada itu, Shah Firdaus memberitahu, jangkitan bakteria yang dialami sedikit sebanyak mengganggu prestasinya ketika Piala Trek Jepun awal bulan lalu.
Menurutnya, jangkitan berkenaan mengubah prestasi badannya termasuk kerap menggigil serta kesakitan otot sewaktu beraksi di Velodrom Izu, Shizouka itu.
“Sewaktu latihan saya okay. Namun kadang-kadang tubuh saya rasa tidak larat dan lesu. Lepas perlumbaan tadi (semalam) badan saya terus menggigil.
“Saya tidak pernah merasakan badan saya begitu. Saya bersyukur tidak menamatkan perlumbaan dengan kejadian tidak diingini,” katanya.
Shah Firdaus kini dalam pemantauan doktor dan dia dibekalkan dengan ubat antibiotik untuk rawatan jangkitan bakteria. – UTUSAN










