JDT 'julang' Piala Sumbangsih

JDT ‘julang’ Piala Sumbangsih

JDT mengutip tiga mata pertama dalam pembukaan Liga Malaysia musim ini apabila diberikan kemenangan percuma 3-0 ke atas Selangor FC yang menarik diri daripada beraksi perlawanan Sumbangsih. - IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak perlu mengeluarkan peluh untuk mengutip tiga mata pertama dalam pembukaan Liga Malaysia (Liga M) musim ini apabila diberikan kemenangan percuma 3-0 ke atas Selangor FC.

Kemenangan itu terhasil selepas MFL membuat keputusan membatalkan perlawanan Piala Sumbangsih selepas Selangor FC menarik diri selepas mengambil kira keselamatan pemain dan pegawai yang menjadi keutamaan.

Keputusan itu dibuat selepas penyerang Selangor FC, Faisal Halim mengalami kelecuran tahap empat selepas diserang dengan simbahan asid oleh dua individu yang tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah, Ahad lalu.

MFL dalam satu kenyataan berkata, keputusan pembatalan itu dibuat selepas Selangor FC menghantar permohonan rasmi kepada pengendali Liga M itu untuk menarik diri daripada pertandingan berkenaan.

“MFL hari ini mengumumkan bahawa perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada Jumaat (hari ini) di Stadium Sultan Ibrahim terpaksa dibatalkan selepas Selangor FC membuat keputusan untuk tidak hadir.

“JDT bakal diberikan kemenangan ‘walkover’ (kemenangan percuma) dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi perlawanan Liga Super,” katanya.

Dalam pada itu, MFL turut memberi bayangan Selangor FC berkemungkinan bakal dikenakan hukuman ekoran penarikan diri tersebut.

“Perkara-perkara lain juga berkenaan penarikan diri itu akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa susulan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meneruskan pertemuan kedua-dua pasukan itu.

Baginda juga memberi sokongan penuh keputusan Red Giants menarik diri daripada aksi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M) yang dijadualkan berlangsung esok.

Sultan Sharafuddin bertitah, keputusan Selangor FC tidak menyertai perlawanan itu adalah tepat susulan beberapa insiden mengancam nyawa membabitkan pemain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN