Harimau Malaya 'hilang' taring?

Harimau Malaya ‘hilang’ taring?

KIM Pan Gon (kanan) memantau latihan hari pertama skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengakui beliau berdepan kesukaran melakukan persediaan menjelang dua aksi terakhir Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas menghadapi masalah kecede­raan.

Harimau Malaya dijadual menentang Republik Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun ini dan Taiwan di Bukit Jalil (11 Jun) dan Pan Gon perlu segera mencipta kombinasi terbaik terutamanya di bahagian serangan pasukan.

Selain ketiadaan Faisal Halim yang sedang menjalani proses pemulihan selepas disimbah asid pada awal bulan ini, Harimau Malaya turut kehilangan khidmat Arif Aiman Hanapi yang cedera buku lali.

Syafiq Ahmad turut tidak dapat menjalani latihan bersama skuad kebangsaan berikutan kecederaan otot paha manakala Romel Morales cedera di buku lali dan situasi Darren Lok juga perlu dipantau rapi selepas dia turut dibelenggu ce­dera otot paha.

Bagaimanapun, jurulatih dari Korea Selatan itu enggan menjadikan masalah kecederaan yang dialaminya sebagai alasan, sebaliknya berusaha untuk mencipta ramuan terbaik buat Harimau Malaya.

“Situasi yang sukar. Semua pemain di bahagian serangan ada masalah. Ini pemain yang kita ada buat masa sekarang namun kita masih ada lagi pemain lain dan kami akan cuba mencari pemain yang sesuai untuk perlawanan akan dating.

“Kami tidak pernah berputus asa malah kami pandang ke depan dengan positif dan berjuang demi Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Harimau Malaya sebelum ini menewaskan Republik Kyrgyzstan 4-3 di laman sendiri pada 16 November lalu dan menang 1-0 ke atas Taiwan di tempat lawan.

Skuad kebangsaan menduduki tangga ketiga selepas me­ngumpul enam mata manakala Republik Kyrgyzstan menghuni tangga teratas berkongsi sembilan mata dengan Oman selepas dipisahkan dengan perbezaan gol. Taiwan di tangga terakhir tanpa sebarang mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN