Haji: Tumpu ibadat, taubat

Haji: Tumpu ibadat, taubat

PENGGUNAAN media sosial semasa ibadat dikhuatiri akan mengubah niat seseorang semasa melakukan tawaf dan ibadat yang lain. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETAKAT ini, sudah lebih separuh jemaah haji negara berada di Madinah dan Mekah. Penerbangan pertama membawa jemaah haji adalah pada 9 Mei lalu manakala penerbangan terakhir dijadualkan pada 9 Jun ini.

Jemaah haji yang terpilih tahun ini sewajarnya membanyakkan rasa syukur kepada Allah. Sebabnya, masih ramai yang dalam senarai menunggu untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Untuk itu, perlu sentiasa diingatkan, tujuan dan matlamat utama ke tanah suci adalah untuk beribadat. Justeru, sementara menunggu tibanya hari wukuf, kemuncak haji pada 15 Jun, janganlah disia-siakan peluang dan masa berada di tanah suci.

Satu ‘penyakit’ yang menyerang umat Islam masa kini adalah ketagihan penggunaan media sosial yang semakin meluas. Terutama dalam medium TikTok. Sehinggakan ia mencetus kebimbangan akan bertukarnya niat semasa melakukan tawaf dan ibadat yang lain.

Kebimbangan itu juga menyebabkan, Pengurus Bimbingan Mekah, Shahrin Awaludin menasihatkan para jemaah haji agar meminimumkan penggunaan media sosial terutama ketika beribadat.

Janganlah pula setiap satu ibadat itu, hendak dipertontonkan atau dijadikan bahan kandungan dalam TikTok, instagram dan sebagainya. Ia dibimbangi mengganggu tumpuan selain boleh menyebabkan timbulnya rasa riak atau menunjuk-nunjuk.

Niat adalah asas atau kayu ukur bagi sesuatu amalan yang dilakukan dan niat itu perlulah hanya kepada Allah SWT. Tambahan pula, niat juga yang akan menentukan sesuatu amalan itu diterima atau ditolak oleh Allah SWT.

Ia dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadis baginda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu. Akan tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu. (Riwayat Muslim)

Barangkali niat asalnya untuk memberi semangat kepada rakan-rakan lain yang belum berkesempatan menunaikan haji. Cuma dibimbangi, akan timbul niat lain akibat kerja syaitan yang membelit kita secara halus hingga terdetik di hati kita untuk niat yang lain dan bukan lagi ikhlas. Sebabnya, ikhlas itu diibaratkan seperti semut hitam yang berjalan di atas batu hitam pada malam yang gelap.

Manfaatkan sepenuhnya setiap saat dan masa yang ada untuk beribadat. Jangan hendaknya walau satu detik pun kita dilalaikan oleh syaitan dengan perkara-perkara lagha (sia-sia).

Paling utama, istiqamah solat berjemaah di Masjidil Haram. Begitu juga ketika berada di Madinah, jangan pula kita solat di hotel sedangkan masjid terbentang luas di hadapan mata kita. Tambahan pula, kita sudah berhabis puluhan ribu ringgit untuk ke tanah suci.

Kelebihan solat di Masjidil Haram pula disebutkan lebih besar berbanding Masjid Nabawi. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada 1,000 solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100,000 solat di tempat lain”. (Riwayat Ahmad)

Selain itu, apabila kita berada di Masjidil Haram, kita boleh melakukan banyak lagi amalan-amalan sunat seperti tawaf sunat, iktikaf, solat-solat sunat, puasa dan sebagainya.

Melihat kaabah sebagai kiblat kita juga adalah satu nikmat dan pahala memandang kaabah adalah mendapat rahmat dari Allah SWT. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Setiap sehari semalam Allah menurunkan 120 rahmat atas Baitullah. Enam puluh rahmat untuk yang melakukan tawaf, 40 untuk yang menunaikan solat dan 20 lagi untuk yang memandang kaabah. (Riwayat Tabrani).

Imam al-Nawawi dalam kitab al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-’Umrah menyebut: Semua jenis solat digandakan pahalanya di Mekah. Begitu juga dengan semua jenis ketaatan. Sebahagian ulama juga mengatakan bahawa dosa berbuat kejahatan juga digandakan. Antara yang mengatakan sedemikian ialah Mujahid dan Ahmad bin Hanbal.

Al-Hasan al-Basri berkata: “Puasa sehari di Mekah bersamaan 100,000, sedekah satu dirham bersamaan dengan 100,000. Setiap kebajikan bernilai 100,000. Sesungguhnya disunatkan untuk memperbanyakkan solat, puasa, sedekah, bacaan al-Quran dan semua jenis ketaatan yang dia mampu untuk lakukan.” (al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-’Umrah, hlm. 465)

SOLAT SEPANJANG MASA
Satu lagi kelebihan di Masjidil Haram ialah kita boleh solat sepanjang masa. Umumnya, ada waktu-waktu yang diharamkan untuk seseorang itu mendirikan solat iaitu:
* Selepas solat subuh sehingga matahari terbit.
*Ketika matahari terbit sehingga sempurna dan meninggi dengan kadar tombak.
* Selepas asar sehingga matahari terbenam.
* Ketika matahari terbenam sehingga sempurna terbenamnya.

Namun, menurut pendapat yang masyhur dalam ulama al-Syafie, tiada waktu larangan untuk solat di Masjidil Haram. Jadi, banyakkanlah solat dan ibadat-ibadat lain serta banyakkan bertaubat kepada Allah SWT. Mudah-mudahan Allah ampunkan dosa kita. Pendek kata, tumpukan beribadat dan taubat.

Nabi SAW yang diketahui bahawa sebagai maksum dan Allah SWT mengampunkan dosanya yang telah lalu juga tidak pernah meninggalkan istighfar ini. Di dalam sebuah hadis, diceritakan Nabi SAW beristighfar lebih 70 kali sehari.

Ia sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah r.a, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali. (Riwayat Bukhari)

Terdapat banyak tempat yang mustajab untuk berdoa sepanjang berada di Mekah. Antaranya: Masjidil Haram, di dalam Baitullah, di sekitar zamzam, di Safa dan Marwah, Mas‘a (tempat saie), di belakang Makam Ibrahim, di Arafah, Muzdalifah dan Mina serta ketiga-tiga jamrah.
Ketika tawaf pula antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad lebih ditekankan untuk jemaah memanjatkan doa. Mohonlah dengan apa-apa doa yang disukainya daripada urusan agama dan dunia untuk dirinya sendiri, juga kepada sesiapa yang disukainya dan kaum Muslimin secara umumnya. (Lihat al-Taudih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 183)

Bagi yang berada di Madinah pula jangan lepaskan peluang masuk ke Raudah. Ia juga tempat yang mustajab berdoa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Kawasan di antara rumahku dan mimbarku adalah sebuah taman daripada taman-taman syurga. (Riwayat Bukhari dan Muslim)-UTUSAN

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN