Guru wajib lahirkan pelajar berkemahiran digital

Guru wajib lahirkan pelajar berkemahiran digital

MAHU atau tidak, guru tiada alasan untuk hanya kekal mendidik menggunakan kaedah kuno semata-mata sebaliknya perlu berganjak dan menguasai dunia digital sepenuhnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang dirangka pada 1988 dan disemak pada 1996 merupakan wadah pendidikan yang memberi rangka yang jelas tentang hala tuju pendidikan negara. Pernyataan FPN dengan jelas menggariskan asas pendidkan negara iaitu bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berpendidikan kelas pertama dengan penerapan sahsiah yang baik, seimbang dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Para Pendidik perlu mendahului masa dalam meneroka era globalisasi dan era Revolusi Perindustrian 5.0 (IR 5.0). Era yang memacu warga pendidik dan pelajar untuk terus mengadaptasikan diri dengan arus rimbunan pendigitalan.

Arus pembangunan digital memerlukan kepakaran dan kebijaksanaan dalam bermain dalam talian yang dilabel sebagai digital. Alam maya yang mengajak kita berinovasi secara kritis dan kreatif secara beretika berteraskan FPN dan Rukun Negara.

Pembudayaan digital seharusnya dibenih sejak pelajar menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Pendidikan prasekolah menjadi tapak semai yang seharusnya kita gilap dan jadikan mereka fasih digital. ‘Pempolimeran’ ini harus diteruskan sehingga menara gading dan menjadikannya sebagai proses sebagai pendidikan sepanjang hayat.

Kini tiba masanya untuk kita memikirkan ungkapan fasih digital ini, sama ada ia keperluan atau kehendak zaman pendigitalan pendidikan? Adakah pendidik bersedia untuk melengkapkan sanubari mereka dengan era pendigitalan dalam menjadikan diri dan anak muridnya fasih digital? Mampukah neuron-neuron muda, murid di negara kita, menggarap amalan pendigitalan?

Kita sering berhujah tentang keciciran murid dalam menguasai literasi dan numerasi iaitu 3M (membaca, menulis dan mengira), dengan seramai 269,332 murid di seluruh negara tersenarai dalam senarai keciciran. Namun, 10 tahun yang akan datang, kita tidak mahu terus berdebat pula tentang data-data keciciran murid dalam literasi digital.

Bagi mengatasi keciciran dan jurang pendigitalan, Kementerian Pendidikan (KPM) yang dipimpin Fadhlina Sidek dan disokong oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan bersama cendikiawan dari pelbagai sektor merangka Dasar Pendidikan Digital (DPD). Dasar ini dilancarkan secara rasminya pada 28 November 2023 dengan empat objektif dan disokong dengan enam teras utama, 18 strategi dan 41 inisiatif.

Dasar ini dirangka dan digubal selari dengan beberapa dasar kerajaan. Konsep Membangun Negara Madani, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital), Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), Jalinan Digital Negara (Jendela), Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 serta Dasar Sains Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 untuk memastikan usaha yang berstruktur dan terancang bagi mendepani cabaran IR5.0. Keselarian hasrat dan matlamat kesemua dasar-dasar ini, jika dapat diterapkan dan dilaksanakan dengan karamah insaniah, maka kita dapat melihat impaknya dalam masa 10 tahun akan datang.

PEMBANGUNAN MODAL INSAN
Teras pertama menggariskan pembangunan modal insan utama negara iaitu, pelajar. Kemenjadian pelajar melalui inisiatif melahirkan mereka yang fasih digital melalui proses yang dilengkapi kemahiran mencipta dan menghasilkan inovasi, menganalisis data secara saintifik, mampu menyelesaikan masalah serta berkomunikasi dan akhir sekali berkolaborasi dengan lebih berkesan.

Teras pertama ini akan dilonjakkan dengan beberapa strategi. Pemerkasaan kurikulum dengan penerapan pendidikan digital dan hasilnya diukur dengan pelaksanaan Standard Kompetensi Digital Murid (SKDM), yang dapat menilai dan merumuskan impak pelaksanaan pendidikan digital. Malahan pembudayaan penggunaan digital secara bersepadu, kreatif, inovatif dan beretika yang berpusatkan murid yang mampu memupuk bakat dan potensi.

Walaupun baharu enam bulan pelaksanaan Dasar Digital, Jabatan Pendidikan Perak menjadi perintis dalam menonjolkan impaknya melalui Festival Digital Lensa Perak (FesDLA) 2024 peringkat negeri itu, pada 30 April lalu bertempat di Malay College Kuala Kangsar. Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Kuala Kurau, Kerian muncul juara melalui dokumenteri bertajuk Ban Pecah: Mitos atau Realiti menunujukan kefasihan murid secara digital.

PENDIDIK DIGITAL
Modal utama dalam melahirkan pelajar fasih digital ialah tenaga pendidk. Jadi, teras kedua menggariskan strategi dalam melahirkan warga pendidik yang kompeten digital. Teras ini ditransformasikan dengan pengesanan tahap kompetensi pendidik. Pelaksanaan pelbagai program mengikut tahap kompetensi digital, pengupayaan sebagai jauhari pendidikan digital dan pembudayaan digital dalam kalangan pendidik direncanakan secara sistematik dan komprehensif. Inisiatif ini diharapkan dapat melahirkan pendidik kompeten digital yang menjadi suri teladan kepada pelajar.

Kepimpinan melalui teladan merupakan antara kata-kata hikmah yang mencerminkan keupayaan dan gaya kepimpinan serta ilmu yang tersohor pada seorang pemimpin dalam sesebuah organisasi. Pengetua dan Guru Besar juga tidak disisihkan dalam melengkapkan diri mereka dengan fasih digital. Perubahan dalam pucuk kepimpinan terutamanya dari segi kecekapan pengurusan digital akan menjadi inipati Kementerian Pendidikan. Kelahiran pemimpin yang fasih digital sebagai teras ketiga sudah tentu dapat menyemarakkan budaya digital di institusi tersebut.

Penyediaan infrastruktur dan infostruktur yang lengkap menjadi teras keempat. Infrastruktur yang mapan dan konsisten terutamanya jaringan internet berkelajuan tinggi mampu mempercepatkan DPD. Tanpa kesinambungan di antara akses internet, tiada apa yang dapat diupayakan secara digital. Dunia maya ini amat berantaian dengan sambungan internet yang pantas dan konsisten. Jika penyedia rangkaian internet dapat memberi jaminan minima 90 peratus pengekalan capaian internet, sudah tentu DPD akan menjadi realisasi dalam tempoh pramatang.

Kandungan digital yang berkualiti dan bersesuaian serta bersemadikan digital akan menjadi asas dalam pembikinan kurikulum digital. Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia 2.0 (DELIMa 2.0) yang dibangunkan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), KPM merupakan telapak pembangunan dan pembudayaan pengajaran dan pembelajaran digital negara terutamanya ilmu kecerdasan buatan (AI).

RAKAN STRATEGIK
Teras terakhir, rakan strategik yang komited. Buat masa ini, Microsoft Malaysia, Apple dan Google menjadi rakan strategik KPM, dalam menyediakan platform bagi guru-guru di seluruh negara dalam memperhalusi alam digital. Pelbagai program persijilan dan kursus maya ditaburkan dalam DELIMa. Kini menjadi tanggungjawab pendidik untuk mencedok segala ilmu digital dari samudera DELIMa dan semadikan di bilik darjah buat anak didik digital.

Jelas pelbagai langkah drastik diwacanakan oleh KPM. Kini tiba detiknya untuk para pendidik menggapai butir-butir bintang digital, untuk menjadikan anak didik di bumi bertuah ini begemerlapan bagai sang suria yang segar dan ceria walau di pelosok mana sekolahnya bertapak.
Mari kita tukarkan persoalan apakah cita-cita anda? Kepada apakah anda ingin bina bila dah besar nanti? Para pendidik yang kreatif dan inovatif harus menaburkan bakti dengan melahirkan anak didik yang fasih digital sealiran dengan arus pendigitalan.-UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Akademik Kolej Matrikulasi Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN