AMPANG: Pendatang baharu Liga A1 Semi Pro, Gombak FC, optimis mampu memberikan saingan meskipun membuat penampilan sulung mereka di pentas bola sepak semi profesional itu pada musim 2024/25.
Ketua jurulatih Gombak FC, Shahrom Kalam, melontarkan keyakinan bahawa pasukan bimbingannya itu mampu memberikan aksi terbaik dalam misi menghuni kedudukan tiga teratas sekali gus memburu slot ke Liga Super.
“Pasukan menunjukkan kesungguhan yang baik dalam sembilan perlawanan persahabatan di mana kami berjaya meraih empat kemenangan dan satu keputusan seri. Ini akan menjadi asas kekuatan pasukan dan secara tidak langsung kita bersedia memberi cabaran dalam saingan Liga A1 Semi Pro.
“Secara keseluruhan, Gombak FC sudah bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), 1 Jun ini,” kata Shahrom dalam majlis pelancaran jersi pasukan itu oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Shahrom juga mengakui aksi persahabatan yang diharungi pasukan itu banyak memberi peluang kepadanya untuk membuat analisis sekali gus membentuk pasukan yang lebih mantap sebelum sepak mula nanti.
“Gombak FC sudah mengenal pasti kelemahan pasukan sepanjang perlawanan persahabatan yang kita adakan sebelum ini. Beberapa perubahan taktikal dan kecergasan pemain juga sedang dianalisis bagi memilih pemain yang terbaik,” katanya.
Sebagai rekod, pasukan itu mendapat slot ke Liga A1 Semi Pro musim ini selepas mengungguli Liga Juara-Juara Selangor (SCL) 2023. – UTUSAN










