Faisal nak balik, sudah boleh berjalan

Faisal nak balik, sudah boleh berjalan

FAISAL HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM:  Keadaan pemain Harimau Malaya, Faisal Halim bertambah baik dan boleh berjalan dalam bilik rawatan sehinggakan menyatakan hasrat mahu pulang ke rumahnya.

Itu perkongsian Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar yang gembira dengan perkembangan semasa Faisal selepas selesai menjalani pembedahan ketiga, kelmarin.

Shahril yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC turut berkongsi yang semangat dan ketabahan Faisal juga turut menghadirkan keterujaan buat barisan doktor yang merawatnya.

“Saya diberitahu Faisal lebih ceria tetapi yang lebih seronok didengar pagi ini (semalam) dia mula berjalan dalam bilik, itu saya teruja malah dia pun boleh pergi ke bilik air dengan sendiri.

“Fizikal satu hal tetapi semangat dia juga agak baik. Pakar beritahu pagi ini, mereka sudah banyak buat prosedur (rawatan) sebegini tetapi Faisal ini istimewa sebab dia tunjukkan pemulihan dengan cepat.

“Dia cakap dia nak balik, itulah orang yang semangat ini lain sikit. Harapan saya Raya Aidiladha nanti dia boleh balik,” katanya selepas melawat Faisal, semalam.

Kelmarin, Faisal menjalani pembedahan menggunakan kaedah ‘skin allograf’ dan proses berkenaan lebih tertumpu di bahagian lengan dan rusuk Faisal.

Sementara itu, Shahril juga merasakan Faisal akan terus bermotivasi untuk kembali pulih dan pihak kelab serta hospital akan kekal menghulurkan bantuan sewajarnya.

“Faisal akan sentiasa jadi Faisal walaupun pergerakan dia terbatas. Kita nampak dia mencuba disamping itu kelab serta hospital akan beri sokongan psikologi, bukan saja kepadanya malah buat keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN