Faisal mengadu sakit seperti terbakar

Faisal mengadu sakit seperti terbakar

FAISAL Halim dipercayai disimbah dengan asid sulfurik pekat sehingga mengakibatkan kecederaan lecur tahap empat pada tubuhnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suspek yang menyerang pemain Harimau Malaya, Faisal Abdul Halim dipercayai menggunakan asid sulfurik pekat sehingga menyebabkan pemain berusia 26 tahun itu melecur tahap empat.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon mendedahkan jenis asid yang digunakan suspek selepas beliau melawat Faisal di hospital swasta di Shah Alam, semalam.

Katanya, pemain kelahiran Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu berada dalam keadaan sedar tetapi kecederaan fizikal yang terkena simbahan asid tersebut agak kritikal.

“Sejenis ubat khas dari Australia juga diberikan kepada Faisal untuk membantu memulihkan luka di bahagian yang melecur.

“Kecederaan Faisal agak teruk dan serius.Namun, dia dalam keadaan sedar tetapi badan (fizikal) dia memang sangat teruk.

“Asid yang disimbah kepada Faisal adalah asid sulfurik pekat,” katanya secara ringkas.

Asid sulfurik pekat (H2SO4) ialah cecair yang tak berwarna tetapi sangat berbahaya kerana sangat menghakis (corrosive) dan mengakibatkan kulit melepuh dan melecur.

Asid jenis ini menyerap air dengan mudah dan biasanya digunakan dalam makmal sebagai agen pengontangan (dehydrating agent) untuk mengeringkan gas seperti hidrogen, klorin dan sulfur dioksida.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar mendedahkan tahap kecederaan Faisal Abdul Halim kritikal khususnya tangan kiri agak parah dan sukar untuk bergerak.

Shahril berkata, itu merupakan perkembangan semasa pemain sayap Harimau Malaya dan Selangor FC itu selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di Shah Alam, semalam.

“Selepas menjalani pembedahan, keadaan Faisal dalam keadaan kritikal dan kini hanya saya dan isterinya saja dibenarkan untuk melawat.

“Jika diikutkan apabila dia dihantar ke hospital pertama untuk menerima rawatan awal doktor (di sana) melihatnya mungkin melecur tahap dua.

“Namun, selepas dipindahkan ke hospital (di Shah Alam) dan rawatan susulan mendapati lecuran berada pada tahap empat.

“Sedih saya melihat keadaannya ketika ini, kerana dia ada beritahu bahawa terasa sakit seperti terbakar di dalam kulit dan mengerang kesakitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×