Denda, penolakan mata menanti Selangor?

Denda, penolakan mata menanti Selangor?

SELANGOR FC menjalani latihan menjelang pertembungan dengan Negeri Sembilan malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Status hukuman tatatertib yang mungkin dikenakan terhadap Selangor FC masih menjadi tanda tanya susulan menarik diri daripada beraksi pada Piala Sumbangsih.

Pelbagai andaian dibuat mengenai bentuk hukuman yang bakal dikenakan terhadap Red Giants selepas Liga Bola­sepak Malaysia (MFL) belum membuat keputusan bersama Lembaga Pengarahnya yang dijangka bermesyuarat dalam masa terdekat.

Bagaimanapun bekas Penge­rusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah tidak menolak Selangor FC berkemungkinan dikenakan hukuman denda dan penolakan tiga mata.

“Bergantung kepada kebi­jaksanaan MFL untuk menen­tukannya. Berapa jumlah denda saya tidak pasti dan saya tidak dapat memberi anggaran. Berkemungkinan RM5,000 hingga RM10,000 atau lebih,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kamarudin berkata, Selangor FC sepatutnya membuat permohonan untuk menunda perlawanan itu pada hari kejadian penyerangnya, Faisal Halim disimbah asid bukannya di saat akhir.

“Saya faham dengan keada­an Selangor FC disebabkan apa yang telah menimpa terhadap Faisal tetapi saya fikir mereka sepatutnya minta perlawanan itu ditunda pada hari kejadian Faisal disimbah asid.

“Kena faham, perlawanan itu melibatkan banyak pihak seperti penyiaran televisyen, penaja malah MFL sendiri sudah memberi jaminan berhubung keselamatan pemain,” katanya.

Rabu lalu, Selangor FC me­ngu­mumkan tidak akan beraksi dalam Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim atas faktor keselamatan selepas permohonan mereka untuk menunda perlawanan itu ditolak MFL.

Susulan itu, MFL mengumumkan pembatalan aksi Piala Sumbangsih sekali gus menyaksikan JDT diberikan kemenangan walkover dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi perlawanan Liga Super.

Terdahulu, Faisal disimbah asid dan dipercayai asid sulfurik pekat pada 5 Mei lalu sehingga mengakibatkan beberapa anggota badannya melecur tahap empat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×