PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang merangkul pingat gangsa menerusi acara pecut pada Piala Trek Jepun II, malam tadi.
Aksi yang berlangsung di Velodrom Izu itu menyaksikan Azizulhasni terpaksa berpuas hati membawa pulang gangsa selepas menamatkan perlumbaan di belakang dua pelumba tuan rumah.
Juara menjadi milik pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022, Kaiya Ota sementara rakan sepasukannya Yuta Obara menduduki tempat kedua.
Sementara itu, seorang lagi jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan saingan di tempat kelapan.
Pada aksi pecut wanita menyaksikan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri gagal menyerlah di negara kegemarannya selepas mengakhiri perlumbaan di tempat ketujuh.
Juara Sukan Asia Hangzhou 2022, Mina Sato mengungguli acara terbabit diikuti dua rakan senegaranya, Fuko Umekawa di tempat kedua serta Riyu Ohta di carta ketiga.
Piala Trek Jepun II akan meneruskan saingan hari ini dengan ketiga-tiga pelumba negara dijadualkan mengambil bahagian dalam acara keirin. – UTUSAN










