PETALING JAYA: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi gagal mencari catatan masa bawah 10 saat sekali gus belum mengesahkan tiketnya ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Azeem yang mewakili Universiti Auburn menduduki carta keenam menerusi catatan 10.36 saat (s) saringan kedua pada Kejohanan Olahraga SEC 2024 di Florida, Amerika Syarikat (AS).
Susulan keputusan itu menyaksikan beliau gagal berada di pentas final dan hanya menduduki tempat ke 21 daripada 34 pelari secara keseluruhan.
Untuk mara ke final, hanya pemenang daripada setiap empat saringan dan lima naib juara yang akan melayakkan diri.
Saringan terbabit menyaksikan rakan sepasukan Azeem Kanyinsola Ajayi mengungguli larian menerusi mencatat 10.13s manakala tempat kedua Da Marcus Fleming dari Lousiana State University (10.19s) dan di ketiga Nyck Habo dari University of South Carolina (10.22s).
Catatan masa Azeem pada awal pagi tadi gagal menyamai rekodnya iaitu 10.24s ketika Kejohanan Olahraga LSU Invitational, Los Angeles, akhir April lalu.
Pemegang rekod kebangsaan itu akan meneruskan misi untuk melayakkan diri ke Paris menerusi kejohanan NCAA Preliminaries Lexington pada 22 hingga 25 Mei, Kejohanan NCAA di Eugene Orlando (5 hingga 8 Jun) sebelum kembali ke tanah air untuk menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia (4 hingga 16 Jun).
Azeem yang berada di ranking ke-48 kelayakan ke Paris perlu mengekalkan dalam kelompok 56 terbaik sehingga pusingan kelayakan tamat pada hujung bulan depan.
Pelari berusia 20 tahun itu memburu catatan 10s untuk mengesahkan tempat ke Olimpik dengan lebih awal namun sekiranya gagal, beliau masih berpeluang berdasarkan kedudukan ranking.
Untuk rekod, Azeem menjadi pelari terpantas kebangsaan menerusi acara 100 meter setelah mencatat masa 10.09s ketika Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Columbia 2022. – UTUSAN










