Atlet kayak terima rawatan di ICU

Atlet kayak terima rawatan di ICU

Siti Nurul Masyitah Md. Elias
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Md. Elias kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta, di sini selepas menjalani pembedahan tulang pelvis dan bahagia bahu kanan, kelmarin.

Perkembangan terkini atlet wanita berusia 22 tahun itu dimaklumkan abangnya, Muhammad Syafiq, 29, ketika ditemui di pekarangan hospital swasta itu semalam.

“Pada masa ini, doktor yang merawatnya memaklumkan Masyitah selamat menjalani pembedahan tulang pelvis dan tulang bahu yang patah dan keadaannya stabil.

“Cuma bahagian luka besar di bahagian bahu kiri dan bahagian pinggang belum buat sebab belum ada perbincangan dengan doktor pakar lagi dan dijangka akan menjalani pembedahan plastik selepas ini,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah turut melawat keluarga mangsa di hospital tersebut.

Terdahulu, media melaporkan pelajar semester enam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) itu dirempuh oleh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL), Sabtu lalu.

Lebih malang, difahamkan anak kelima daripada lapan beradik itu turut didakwa diseret kira-kira 100 meter.

Muhammad Syafiq berkata, mereka sekeluarga tidak tahu berapa lama adik perempuannya akan dirawat di hospital kerana perlu menjalani fisioterapi setelah menjalani pembedahan yang diperlukan.

“Bagi sukan yang diceburi, dia banyak menggunakan kekuatan bahu, tangan dan tulang belakang, itu antara kecederaan yang dialami dalam kemalangan itu. Mungkin akan ganggu persembahan dan latihan dia selepas ini, namun bergantung keadaan semasa Masyitah apabila dia dibenarkan keluar nanti mengikut saranan doktor,” katanya.

Masyitah mula menceburi sukan itu seawal usia 14 tahun dan tahun lepas dia mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat gangsa Sukan SEA Kemboja dan menyumbangkan empat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Raja. Shahrul Azremel Raja Sahar berkata, Masyitah berkemungkinan besar terlepas peluang menyertai kejohanan dunia yang akan berlangsung di Filipina.

“Biarpun kita belum membuat senarai akhir atlet yang yang akan bertanding dalam kejohanan itu, semestinya ia satu kerugian besar buat buat kita apabila kehilangan atlet yang cukup berbakat dan berpengalaman.

“Bagaimanapun kita tetap mempunyai atlet lain yang mampu menggantikan tempat dia dalam kejohanan dunia nanti,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×