MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengumumkan siasatan polis mendapati suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor Bahru sehingga mengorbankan nyawa dua anggota polis bertindak secara sendirian (lone wolf).
Hal ini juga ditegaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, yang menjelaskan bahawa serangan itu adalah terpisah daripada misi besar atau kumpulan terancang walaupun bapa suspek adalah bekas ahli Jemaah Islamiyah (JI) yang militan.
Walaupun pengumuman dan penjelasan dari pihak polis ini sedikit melegakan tetapi kita sebenarnya tidak boleh beranggapan bahawa ini adalah bukti bahawa Malaysia sudah benar-benar selamat daripada ancaman kumpulan pengganas seperti JI.
Seperti dimaklumkan pakar antikeganasan dari Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam yang menyatakan ancaman radikal sentiasa wujud dalam masyarakat.
Jelas beliau, seseorang yang pernah memiliki ideologi ekstrem ini sukar untuk dipulihkan dengan sepenuhnya kerana kita boleh penjarakan seseorang itu dari segi fizikal tetapi belum tentu pemenjaraan secara fizikal ini akan dapat mengubah mindanya.
Perkara sama dinyatakan oleh pakar antikeganasan dari Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Ahmad El-Muhammady, walaupun organisasi militan sudah tiada ideologinya susah dihapuskan sepenuhnya.
Ada saki-baki yang cuma menunggu masa saja untuk ‘timbul di permukaan’ semula serta memberi ancaman kepada masyarakat dan negara lantaran kewujudan ekosistem dalam negara, serantau dan antarabangsa yang mendorong ideologi seumpama itu marak semula.
Rancangan untuk menubuhkan negara Islam melalui penggunaan kekerasan dan terorisme di rantau Asia Tenggara seperti diimpikan oleh JI masih ada tarikannya kepada sesetengah orang dan masih perlu dianggap sebagai ancaman serius kepada keselamatan serantau.
Kumpulan ekstremis seperti JI mempromosikan ideologi radikal yang menganggap keganasan sebagai jalan sah untuk mencapai matlamat politik dan agama mereka. Ideologi ini menolak demokrasi dan mendukung penubuhan negara Islam melalui jihad bersenjata.
Insiden-insiden yang memaparkan ketidakupayaan umat Islam dalam menghadapi ketidakadilan yang ditimpakan terhadap mereka yang disampaikan melalui media sosial, ceramah agama atau kuliah di pusat-pusat pendidikan akan cepat meradikalisasi pendengarnya.
Apa lagi bila di peringkat antarabangsa banyak kejadian membabitkan rasa ketidakadilan terhadap umat Islam seperti di Gaza atau Uyghur sehingga proses radikalisasi cepat berlaku yang menyebabkan ada percubaan untuk menghidupkan semula organisasi militan.
Pada 2015 contohnya empat orang Uyghur telah dijatuhkan hukuman penjara enam tahun oleh mahkamah di Jakarta setelah didapati bersalah memasuki Indonesia dengan menggunakan pasport palsu dan cuba menyertai kumpulan militan Mujahidin Indonesia Timur (MIT).
Beberapa ahli kumpulan pemisah Uyghur lain yang melarikan diri dari China ditemukan menyertai kumpulan pengganas untuk melawan penindasan di tanah air mereka dan mencari perlindungan serta sokongan dari kumpulan militan yang berkongsi ideologi yang serupa.
Di Malaysia pula ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membawa persepsi bahawa mereka menyokong keganasan dengan mengalu-alukan kehadiran atau mempromosikan pemikiran tokoh-tokoh luar yang dikategorikan sebagai pengganas oleh kerajaan di negara mereka.
Sebab itu kerajaan Malaysia perlu mengambil langkah-langkah pengawasan, penguatkuasaan undang-undang, kerjasama serantau, pendidikan dan pengurusan sempadan yang berkesan untuk membendung ancaman ini selain memastikan keselamatan serta kestabilan negara.
Pihak berkuasa perlu memperketat pengawasan dan pemantauan terhadap individu dan kumpulan yang disyaki terlibat dalam menyokong keganasan, termasuk pemantauan pergerakan keluar masuk individu dan dana, aktiviti atas talian mahupun hubungan antarabangsa.
Pihak berkuasa juga perlu menguatkuasakan undang-undang antikeganasan dengan tegas dan tanpa pilih kasih. Siapa sahaja yang terbukti terlibat dalam aktiviti pengganas perlu ditahan dan didakwa tanpa mengira mereka penyokong kerajaan atau tidak.
Pihak berkuasa juga perlu melaksanakan program pendidikan dan deradikalisasi yang berterusan melibatkan pemimpin agama, pendidik dan NGO untuk mencegah radikalisasi dalam kalangan masyarakat, walaupun keganasan tidak berlaku tetapi program ini perlu kekal.
Selain itu, pihak berkuasa perlu memperketat kawalan sempadan untuk mencegah penyeludupan senjata dan pergerakan anggota pengganas. Teknologi pengawasan dan pengesanan moden dan terkini perlu digunakan untuk meningkatkan keberkesanan kawalan sempadan.
Seterusnya ialah memperkukuhkan kerjasama dengan negara-negara jiran dan organisasi antarabangsa dalam memerangi aktiviti keganasan. Pertukaran maklumat risikan dan operasi bersama boleh membantu mengesan dan menghapuskan rangkaian kumpulan militan.
Terrorist Screening Centre atau Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) dalam Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) contohnya adalah satu organisasi antarabangsa berwibawa dengan segala kepakaran dan maklumat yang diperlukan untuk memerangi aktiviti keganasan.
PERKETAT DAFTAR NGO
Sehubungan itu, kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu memperhebatkan pengawasan dan pemantauan terhadap NGO yang beroperasi di Malaysia dengan meneliti sumber dana, aktiviti dan kolaborasi antarabangsa mereka.
Proses pendaftaran NGO juga perlu diperketatkan yang mana setiap NGO perlu menjalani penilaian dan penilaian semula yang menyeluruh bagi memastikan mereka tidak mempunyai sebarang hubungan dengan kumpulan pengganas atau melakukan aktiviti yang mencurigakan.
NGO juga perlu dilibatkan dalam dialog dan perbincangan untuk memahami pandangan mereka, untuk memberikan penerangan tentang garis panduan dan peraturan yang perlu dipatuhi bagi memastikan mereka sentiasa beroperasi dalam rangka kerja yang sah.
Tegasnya, walaupun insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram tidak melibatkan misi besar atau kumpulan terancang, masih ada rahmat tersembunyi di sebalik insiden menyedihkan ini kerana ia menyedarkan kita supaya lebih serius dalam menangani ancaman kumpulan militan.-UTUSAN
DR. Syed Agil Shekh Alsagoff ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).










