KUALA NERUS: Kem Terengganu FC (TFC) menerima suntikan moral apabila pemain sayap, Akhyar Rashid yang menjadi mangsa samun dan pukul semakin pulih dan akan kembali berlatih minggu depan.
Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, keadaan tonggak berusia 25 tahun itu menunjukkan tanda-tanda positif dan beransur pulih selepas menerima enam jahitan susulan insiden malang itu.
Menurutnya, Akhyar bagaimanapun masih diberi cuti beberapa hari lagi untuk berehat sekali gus terpaksa diketepikan untuk aksi pembukaan Liga Super bertemu Perak, Sabtu ini.
“Kami optimis (Akhyar) akan kembali menyertai sesi latihan, minggu depan, iaitu selepas pertemuan menentang Perak dan memperkuatkan semula pasukan untuk perlawanan kedua liga.
“Difahamkan beliau masih merasai kesakitan akibat jahitan di bahagian kepala dan kami membenarkan Akhyar berehat beberapa hari lagi bagi mengembalikan semangat serta emosinya.
“Meskipun tanpa kelibat Akhyar melawan Perak, saya yakin pemain lain boleh mengisi kekosongan itu antaranya Norhakim Hassan dan Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, Steinbruckner menjelaskan, moral skuad kendaliannya juga sudah semakin meningkat selepas trauma dengan kejadian malang menimpa Akhyar, Khamis lalu.
Menurutnya, pemain pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) itu diharap dapat segera kembali ke prestasi terbaik untuk membantu TFC menghadapi saingan domestik dan Kejuaraan Kelab ASEAN.
“Akhyar merupakan tonggak pasukan sejak menyertai kami dan menjadi pilihan untuk berada dalam kesebelasan utama kerana kelibatnya mampu memperkemaskan jentera serangan,” tambahnya.
Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu antara muka baharu skuad Penyu musim ini dan menyertai TFC secara pinjaman daripada JDT bersama Safawi Rasid di bahagian serangan.
Dua pemain itu juga dijangka berada dalam perancangan jurulatih negara, Kim Pan-gon untuk baki aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan depan. – UTUSAN










