PETALING JAYA: Pemain skuasy wanita negara, Chan Yi Wen menempah slot ke Kejohanan Dunia buat kali pertama dalam kariernya selepas mengetepikan rakan senegara, K. Sehveetrraa pada perlawanan akhir Kelayakan Kejohanan Skuasy Dunia Zon Asia, semalam.
Pemain berusia 23 tahun yang menghuni ranking ke-79 dunia itu hanya mengambil masa selama 25 minit untuk menewaskan Sehveetrraa 11-6, 11-3, 11-3 di di Pusat Skuasy Nasional di sini.
Yi Wen berkata, dia berasa gembira dengan pencapaian yang dilakukannya itu selepas beberapa kali mencuba akhirnya peluang beraksi pada Kejohanan Dunia menjelma juga.
“Saya belum pernah layak ke Kejohanan Dunia, ini kali pertama saya layak, tahun lalu saya hampir melayakkan diri tetapi akhirnya gagal.
“Namun, tahun ini saya berjaya juga, saya perlu segera melakukan persediaan bersama pasukan saya kerana Kejohanan Dunia dua minggu sahaja lagi,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan, semalam.
Kejohanan Dunia bakal berlangsung pada 9-18 Mei di Kaherah, Mesir.
Mengenai sasarannya pada Kejohanan Dunia, anak jati Kedah itu memberitahu, dia amat berharap dapat melepasi pusingan awal dan melangkah lebih jauh dalam penyertaan sulungnya itu.
Sementara itu, dalam saingan lelaki, wakil Malaysia, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar gagal menamatkan penantian selama 12 tahun untuk beraksi buat kali pertama pada Kejohanan Dunia selepas kecundang di tangan pemain Jepun, Ryunosuke Tsukue 9-11, 8-11, 3-11 dalam masa 48 minit.
“Saya sudah bagi yang terbaik, tetapi, malangnya perlawanan tadi diganggu dengan keputusan pengadil yang tidak tepat.
“Set pertama sangat penting, kalau saya dapat menang peluang saya akan terbuka, tetapi itulah bukan rezeki saya, keputusan pengadil mengganggu rentak saya,” kata Addeen.
Kegagalan Addeen itu bermakna hanya Yi Wen yang berjaya mengisi satu slot zon Asia untuk saingan wanita, manakala, bagi aksi lelaki menjadi milik Tsukue.
Kejayaan Yi Wen itu menyaksikan dia turut mengiringi empat lagi pemain utama Malaysia iaitu Ng Eain Yow, S. Sivasangari, Aira dan Aifa Azman yang telah pun layak secara automatik ke Kejohanan Dunia berdasarkan ranking dunia masing-masing. – UTUSAN










