PETALING JAYA: Jaguh terjun negara, Wendy Ng akhirnya memutuskan untuk bersara selepas 17 tahun berkelana dalam sukan berkenaan.
Wendy yang bertanding dalam tiga sukan Olimpik berturut-turut sejak Edisi 2012 di London, mengumumkan persaraannya di laman sosial Instagram miliknya, malam semalam.
“Hari ini dengan hati yang bersyukur, saya ingin mengucapkan selamat tinggal kepada kolam yang menjadi tempat perlindungan dan pentas saya untuk detik kenangan yang tidak dapat saya lupakan.
“Kepada pasukan Malaysia, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Persekutuan Renang Malaysia (MAS), jurulatih, rakan sepasukan dan peminat yang sangat menyokong dan kepercayaan anda telah mendorong saya ke tahap yang tidak saya dapat saya impikan.
“Persaraan ini menandakan permulaan lembaran baharu. Terima kasih semua kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan luar biasa ini. Ini adalah permulaan baharu yang dipandu oleh keberanian dan didorong dengan semangat,” kata Wendy dalam laman sosial miliknya.
Pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, penerjun berusia 30 tahun itu memenangi pingat perak menerusi 3 meter (m) papan anjal wanita bersama pasangannya Nur Dhabitah Sabri, sekali gus menandakan penampilan keempat di pentas Asia.
Tidak juga dengan itu, Wendy turut meraih tujuh pingat emas menerusi Sukan Asia Tenggara (SEA) bermula di Palembang pada edisi 2011.
Selain pelbagai pingat emas yang diraih pada lima edisi berbeza Sukan SEA, Wendy turut memenangi perak bersama Dhabitah pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 lalu.
Untuk rekod, Wendy merangkul pingat perak dalam setiap edisi Sukan Asia sejak penampilan sulungnya pada 2010 di Guangzhou, China. – UTUSAN











