UCI sahkan trio basikal trek ke Paris

UCI sahkan trio basikal trek ke Paris

Azizulhasni Awang akan mengetuai cabaran basikal trek di Olimpik Paris bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga pelumba basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri secara rasmi layak untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula Julai ini.

Pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, perkara itu disahkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dalam kuota berbasikal trek bagi setiap Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) yang dikeluarkan semalam.

“Kami sangat gembira dengan pasukan trek di Paris. Azizul dan Shah Firdaus akan beraksi dalam acara keirin dan pecut. Nurul Izzah pula membuat penampilan sulungnya dalam acara keirin dan pecut di temasya terbesar dunia itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI memaklumkan ketiga-tiga pelumba itu telah layak secara tidak rasmi ke Paris berdasarkan mata dan ranking yang dikeluarkan selepas pusingan terakhir Piala Negara-Negara UCI 2024 di Milton, Kanada.

Mengulas lanjut, Amarjit memaklumkan pasukan basikal trek akan melakukan persiapan rapi menjelang Olimpik Paris 2024 dengan sesi latihan di dalam dan luar negara bagi memastikan atlet negara dapat memberi impak dalam penyertaan kali ini.

“Pasukan trek mempunyai perancangan terperinci yang telah ditetapkan untuk tiga bulan akan datang menjelang temasya itu, dengan latihan di Velodrom Nasional di Nilai dan selepas itu ke Eropah untuk tempoh yang singkat sebelum menyertai acara trek di Paris, yang akan diadakan dari 6 Ogos hingga 11 Ogos,” katanya.

Secara keseluruhan, empat atlet berbasikal Malaysia akan bertanding di Paris selepas Nur Aisyah Zubir sebelum ini mendapat tempat dalam berbasikal lebuh raya yang juga mencipta sejarah sebagai pelumba wanita pertama negara bersaing dalam acara itu di Olimpik.

Ketika ini, sembilan atlet Malaysia secara rasmi layak ke Olimpik Paris 2024 termasuk Bertrand Rhodict Lises (terjun), Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×