PETALING JAYA: Selepas berjaya menyambar tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024, jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang akan ke London bagi menjalani ujian aero demi persiapan ke acara sukan berprestij itu.
Ketua jurulatih kebangsaan, John Beasley akan mengiringi The Pocket Rocketman ke ujian berkenaan berikutan terlepas beberapa kali akibat menumpu perhatian kepada kelahiran anaknya serta masalah jantungnya.
Bagaimanapun, Beasley mendedahkan kem latihan kebangsaan akan bermula Isnin depan di Velodrom Nasional Nilai, namun beliau bersama Azizulhasni akan menyertai pada Rabu minggu berkenaan.
“Sabtu ini saya akan menunggu Azizulhasni di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Melbourne dan akan terbang ke London untuk jalani ujian aero itu. Selepas ujian selesai kami akan tiba di Malaysia pada Rabu.
“Saya akan membawa skuad basikal jalani latihan di Jepun pada Mei ini sebelum kembali ke Malaysia untuk menyertai Kejohanan Trek Kebangsaan pada 20 Mei.
“Kejohanan kebangsaan ini menjadi sangat penting buat Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Azizulhasni yang akan menjadi pentas latihan bagi ke Paris,” katanya.
Ujian aero salah satu asas penting buat pelumba basikal trek untuk menentukan tahap kemampuan aerodinamik pelumba dan data yang diperoleh boleh digunakan untuk meningkatkan prestasi masing-masing.
Dalam pada itu, Beasley berkata, tiga pelumba negara ini akan memulakan latihan di luar negara bermula Jun ini.
Selain latihan, jurulatih dari Australia itu mengesahkan Azizulhasni bersama Shah Firdaus bakal mendapat basikal baharu yang lebih mampan berbanding saingan di Olimpik Tokyo 2022 lalu.
“Bermula Jun, mereka akan berkelana di Belgium selama tiga minggu untuk menjalani latihan dan menyertai kejohanan di sana. Sejurus berakhir, kami akan ke kem latihan pusat di Mallorca, Sepanyol sebelum yang terakhir di London.
“Izzah juga akan mendapat basikal baharu. Basikal ini telah dinaik taraf sebelum ini di Tokyo dengan penggunaan teknologi baharu daripada biasa,” katanya.
Isnin lalu, pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill mengesahkan Azizulhasni, Shah Firdaus dan Izzah secara tidak rasmi layak ke Sukan Olimpik Paris berdasarkan mata yang dikumpul oleh ketiga-tiga mereka. – UTUSAN










