PETALING JAYA: Datuk Azizulhasni Awang akan mengetuai kontinjen basikal trek negara bersama Muhammad Shah Firdaus serta Nurul Izzah Izzati Mohd Asri ke Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.
Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, ketiga-tiga pelumba negara itu secara tidak rasmi layak secara merit dan akan mewakili acara pecut dan keirin pada temasya sukan empat tahun sekali itu.
Izzah mencipta kejutan menempah namanya ke Paris selepas mempamerkan peningkatan semasa bertanding dalam Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2024 di Kanada.
Bagaimanapun, pelumba berusia 21 tahun itu gagal membuktikan kemampuan sepenuhnya selepas menamatkan saingan di tempat kelapan menerusi acara keirin pada Piala UCI di Milton, Kanada
Pelumba kelahiran Kedah itu sebelum ini menduduki tempat keenam dalam pusingan repechages sebelum mara ke final aksi keirin wanita.
Pingat emas dimenangi oleh pelumba New Zealand, Ellesse Andrews manakala pelumba Belanda, Steffie Van Der Peet meraih pingat perak serta Lauriane Genest dari Kanada (gangsa).
Pelumba lelaki negara pula, Muhammad Ridwan Sahrom menamatkan saingannya di tempat ke-29 menerusi acara pecut selepas tersingkir awal pada pusingan kelayakan.
Sebelum ini ketua Jurulatih basikal trek kebangsaan, John Beasley tidak menyenaraikan Azizulhasni dan Shah Firdaus kesemua Piala UCI yang menawarkan mata kelayakan Olimpik selepas diberi jaminan mendapat tempat ke acara berprestij itu.
Pengumuman rasmi skuad berbasikal negara dijangka pada 22 April ini selepas senarai nama dihantar kepada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC).
Dalam pada itu, skuad berbasikal trek negara sekali lagi pulang tangan kosong dari Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2024 di Kanada.
Muhammad Ridwan Sahrom menamatkan saingan acara pecut di tempat ke-29 selepas tersingkir awal pada pusingan kelayakan.
Pingat emas milik pelumba Belanda, Harrie Lavreysen, Jair Tjon En Fa dari Suriname di tempat kedua dan Nicholas Paul dari Trinidad dan Tobago mengisi tempat ketiga.
Bagi pelumba meningkat naik negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri juga tidak membuktikan kemampuan sepenuhnya selepas menamatkan saingan di tempat kelapan menerusi acara keirin.
Pelumba kelahiran Kedah itu sebelum ini menduduki tempat keenam dalam pusingan repechages sebelum mara ke final aksi keirin wanita.
Pingat emas dimenangi pelumba New Zealand, Ellesse Andrews manakala pelumba Belanda, Steffie Van Der Peet meraih pingat perak serta Lauriane Genest dari Kanada gangsa. – UTUSAN










